Kerajaan bangun rangka kerja DSA, cegah krisis kewangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membangunkan rangka kerja Analisis Kemampanan Hutang (DSA) untuk menjalankan analisis kemampanan hutang awam dan hutang luar negeri sebagai kaedah untuk mengesan dan mencegah krisis yang mungkin berlaku secara lebih baik.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, analisis tersebut merangkumi analisis senario unjuran dasar dan analisis sensitiviti.

“Rangka kerja DSA memberi gambaran tentang beban hutang negara dalam tempoh jangka masa sederhana berbanding landasan kemampanan hutang dengan mengenal pasti kelemahan dalam struktur hutang atau rangka kerja polisi sedia ada serta mengkaji impak dasar penstabilan hutang alternatif,” menurut laporan itu.

Berdasarkan analisis senario unjuran dasar, keperluan pembiayaan kasar kerajaan Persekutuan dijangka kekal di bawah had penanda aras DSA bagi negara yang berkembang pesat iaitu 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Analisis ini menunjukkan keperluan pembiayaan kasar akan berkurang kepada 7.4 peratus pada 2024 daripada 8.9 peratus pada 2019 dengan andaian konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh jangka masa sederhana.

“Pada masa yang sama, hutang kerajaan Persekutuan dijangka kekal terurus dengan mencatat 50.2 peratus daripada KDNK pada 2024 iaitu di bawah had siling 55 peratus,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, ujian tekanan ke atas pertumbuhan KDNK benar liabiliti luar jangka dan gabungan tekanan makro-fiskal, bagaimanapun memberi kesan kepada indikator hutang.

Keperluan pembiayaan luar yang besar merupakan risiko utama profil hutang yang dikenal melalui model (DSA) ini.

Artikel Berkaitan:

“Konsolidasi fiskal dan pengurangan hutang secara berperingkat penting untuk membina penampan fiskal yang mencukupi, terutama semasa krisis ekonomi dan kewangan global.

“Oleh itu, tahap hutang yang mampan akan terus meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya melindungi penarafan berdaulat negara,” menurut laporan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!