RM810 juta untuk kebajikan warga Felda
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM810 juta khusus untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan tersebut diperuntukkan kepada lima perkara antaranya RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 peneroka di seluruh negara.
"Kedua, RM300 juta untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka, ketiga; RM100 juta bagi bekalan air Felda, keempat; RM70 juta untuk perumahan generasi baharu peneroka dan RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan Felda," katanya sempena pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurutnya, Belanjawan 2020 juga akan menyediakan RM738 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan.
"Ia memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta Felcra," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!