Beri mandat penuh kepada Tok Mat
Bendahari Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, mandat bersama kuasa penuh itu harus diberikan kepada Mohamad supaya dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah secara tuntas dalam memulihkan dan memperkasa Umno mulai tahun ini.
“Ahli Umno di peringkat akar umbi khususnya di peringkat Umno (Bahagian) Kluang hari ini menyambut baik iltizam yang digariskan Tok Mat selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk Umno bangkit kembali dan meneruskan perjuangannya dalam arena politik tanah air.
“Sehubungan itu, sewajarnya beliau bukan sekadar menjalankan tugas-tugas Presiden, sebaliknya mempunyai kuasa untuk mengarahkan jentera parti di semua peringkat dalam memperkasa Umno dan seterusnya menterjemahkan iltizam yang digariskan Mohamad,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, dalam status di Facebook, Mohamad yang memangku tugas-tugas presiden menggariskan iltizam membangunkan wibawa Umno sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani, memerangi politik wang, idea akan dijadikan modal politik dan menyemak kembali agenda Melayu.
Beliau juga menggariskan hala tuju untuk membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.
Md Jais berkata, iltizam tersebut diyakini dan dipercayai merupakan satu agenda atau hala tuju parti yang sangat jelas khususnya ketika kedudukan Umno sebagai parti pembangkang.
Katanya, malah hala tuju itu memudahkan kepimpinan Umno di semua peringkat mengerakkan gerak kerja menterjemahkannya bermula seawal tahun ini.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Mohamad mewujudkan dua pasukan utama di peringkat pentadbiran parti bagi membantu pemulihan dan pemerkasaan Umno.
“Pasukan pertama berperanan dalam soal pemulihan parti. Kumpulan ini perlu digerakkan turun sehingga ke peringkat akar umbi kerana dalam soal pemulihan ini, bukan sekadar soal pemutihan keahlian Umno.
“Sebaliknya perlu ada pendoktrinan semula asas perjuangan kepada ahli kita di akar umbi supaya mereka tahu peranan masing-masing dalam usaha memelihara martabat agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Md Jais berkata, dalam erti kata lain, mendokong Umno bukan kerana imbuhan jawatan, perniagaan atau yang lain, tetapi hanya untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Selain dari itu, kumpulan ini juga perlu mengkaji apakah tawaran baru Umno kepada orang Melayu dan bukan Melayu di negara kita,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Kluang itu berkata, pasukan kedua pula berperanan untuk memperkasa Umno sebagai pembangkang yang berwibawa, bukan sekadar di peringkat Parlimen malah Dewan Undangan Negeri.
“Kita mesti memperhalusi dasar-dasar kerajaan sedia ada dan harus ‘counter back’ dasar-dasar yang tidak memberi manfaat bagi memastikan rakyat terus mendapat kebaikan daripada dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran baharu sama ada kerajaan Pusat mahupun negeri.
“Umno perlu suarakan rintihan rakyat di peringkat akar umbi. Inilah peranan Umno sebagai pembangkang yang cekap untuk semak dan imbang demi kepentingan dan kebaikan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!