Kerajaan komited kembang industri kewangan Islam
KUALA LUMPUR - Kerajaan melanjutkan potongan cukai semasa terhadap kos terbitan dan potongan ke atas kos tambahan penerbitan sukuk di bawah prinsip Wakalah selama lima tahun sehingga tahun taksiran 2025 dalam usaha untuk terus mengembangkan industri kewangan Islam negara.
Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020, yang bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberkesanan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama di Dewan Rakyat hari ini.
Pengecualian cukai bagi syarikat pengurusan dana yang mengurus dana patuh Syariah dan dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), dan potongan cukai atas kos pengeluaran SRI Sukuk, juga akan dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga tahun taksiran 2023.
”Ini bertujuan untuk terus mempromosi aktiviti pengurusan dana Islam serta dana SRI,” katanya.
Kementerian Kewangan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam tahun ini bagi mempromosi dan membangunkan ekosistem kewangan Islam.
Bagi meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam, jawatankuasa khas ini akan merumuskan Rangka Tindakan Ekonomi Islam, dengan semua agensi berkaitan, serta menganjurkan inisiatif jangkauan dan kursus profesional untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kewangan Islam di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!