Assange diarah hadir perbicaraan
LONDON - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange diarah hadir ke mahkamah London bagi menentukan sama ada dia boleh dibebaskan dari penjara susulan penentangan ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS).
Warga Australia berusia 48 tahun itu menghuni penjara keselamatan tinggi Belmarsh, barat daya London sejak penahanan dramatik di kedutaan Ecuador di London pada April lalu.
Assange boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 175 tahun di penjara AS sekiranya didapati bersalah terhadap semua tuduhan yang difailkan di bawah Akta Pengintipan AS.
Hakim Mahkamah Majistret Westminster, Tan Ikram mengarahkan Assange hadir di mahkamah untuk perbicaraan pengendalian kes pada 21 Oktober sementara perbicaraan akhir ekstradisi dijadualkan pada 28 Februari tahun depan.
Terdahulu, Assange dilaporkan menggunakan WikiLeaks untuk menerbitkan fail rahsia tentera dan diplomatik berhubung kempen pengeboman AS di Afghanistan dan Iraq yang memalukan kerajaan AS. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!