Ini belanjawan anak muda 2020: Syed Saddiq

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai 'belanjawan anak muda 2020' dan mampu memacu perkembangan positif kepada golongan anak muda terutamanya dalam memberi peluang pekerjaan berkualiti.

Menurutnya, banyak penambahbaikan dirancang kerajaan menerusi peruntukan Belanjawan 2020 termasuk suntikan dana khas berjumlah RM6.5 bilion untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan tahun depan.

"Pada masa sama, ia bukan sahaja tentang peluang pekerjaan baharu, kita juga lihat sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sangat dekat dengan anak muda khususnya yang berlatar belakang daripada keluarga B40 ada peningkatan RM200 juta.

“Ini tidak termasuk dengan kenaikan elaun anak-anak TVET di setiap institusi TVET sebanyak RM100 sebulan. Inilah hala tuju yang kita mahukan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2020 hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat mengumumkan inisiatif MalaysiaKerja (Malaysians@Work) bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

MalaysiaKerja terbahagi kepada empat program iaitu GraduanKerja (Graduates@Work), WanitaKerja (Women@Work), WatanKerja (Locals@Work) dan PerantisKerja (Apprentice@Work) yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Inisiatif Malaysia@Kerja wujud 350,000 peluang pekerjaan

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!