Ibu genggam tangan anak nazak runtun hati netizen
ALOR SETAR - Gambar seorang wanita memegang erat tangan anak perempuannya yang sedang nazak selepas terlibat kemalangan di Jalan Simpang Tiga Ladang Victoria, Padang Serai, Kulim, dekat sini, yang tular di media sosial meruntun hati netizen.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Siti Aishah Mohamad Zuki, 16, meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selepas tercampak dari motosikal ditunggang bersama ibunya, Fatayah Che Lad, 46, dari arah Sidam Kanan menghala Padang Serai akibat bergesel dengan treler.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, sebuah treler cuba membelok ke kiri dan motosikal dinaiki dua beranak membelok ke kanan ketika tiba di simpang berkenaan,
"Siti Aishah maut sementara Fatayah patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Kulim akibat kemalangan itu," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Zuki Abdul Hamid, 49, berkata, isterinya dalam perjalanan menghantar anak bongsu daripada dua beradik itu ke kelas tuisyen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai sebelum ditimpa kemalangan.
Menurutnya, anak perempuannya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan sememangnya rajin menghadiri kelas tuisyen anjuran sekolah memandangkan ingin meraih keputusan cemerlang.
Katanya, dia reda dengan ketentuan meskipun bersedih dengan kejadian itu lebih-lebih lagi apabila mengenangkan impian anak perempuan tidak dapat ditunaikan.
Terdahulu, tular foto meruntun jiwa seorang wanita memegang tangan anak perempuannya selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di beberapa laman sosial Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!