Ular dan Buku Hijau Pas
A
A
A
Seperti biasa netizen berkicau di media sosial mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menyatakan: “Jika rakyat mahu GST kita akan mengkajinya semula.”
Kata Dr Mahathir, ia bertujuan mengkaji semula kebaikan GST berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Itu maksud kata beliau seperti yang diutarakan penyokong-penyokong kerajaan.
Namun begitu, persepsi netizen berbeza pula. Rata-rata memahami kerajaan akan membuat pusingan U pula. Maka Ahli Parlimen Pontian tidak menunggu lama untuk mengulas kenyataan itu. Katanya, dia sudi untuk menjadi konsultan percuma.
Kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi: “Masing-masing terpaksa menjilat ludah sendiri. Ada banyak kemaafan dipohon dan saya dengan bermurah hati memaafkan. Saya tahu fakta saya diputar belit sehingga rakyat tidak mendapat penjelasan sebaiknya."
Begitulah senario yang terjadi beberapa hari ini. Seperti biasa, ada maklum balas kenyataan daripada pihak kerajaan pula berkata,
“Mereka-mereka ini tidak faham akan kenyataan Dr Mahathir dan cuba memutar belit pula.”
Selain itu, pakar bijak pandai ekonomi Prof KS Jomo menyatakan elok dikaji semula cukai dengan cukai pintar pula. Beliau masih tidak bersetuju dengan GST dan katanya, SST itu sendiri mempunyai banyak kekurangan dan perlu diganti dengan satu sistem percukaian pintar.
Maka nasib rakyat sendiri menjadi taruhan dan mangsa hasil ketidakpastian itu. Yang miskin akan menjadi miskin dan merana manakala yang kaya bersorak suka dan terus-menerus menjadi kaya pula. Oleh itu, elok dikaji semula dengan bersungguh-sungguh.
Tetapi sebenarnya saya agak tertarik dengan cadangan daripada parti Pas ini. Saya merasakan cadangan Pas dalam Dokumen Hijau Gagasan Pas Berkaitan Ekonomi Negara patut diberi perhatian juga. Ini merupakan satu cadangan yang agak terkehadapan juga dan perlu dibahaskan untuk mencari keberkesanan dari segi praktikalnya walaupun dari segi teori atas kertas ia amat bagus untuk dilaksanakan.
Cukai
Cadangan Buku Hijau itu mengutarakan akan prinsip Islam dalam menangani masalah ekonomi amnya dan cukai khususnya. Buku Hijau itu memberi tiga cadangan menyelesaikan tiga permasalahan yang sedang dihadapi negara tentang ekonomi, cukai dan permasalahan sara hidup rakyat ketika ini.
Ia sudah tentu ke arah kesejahteraan rakyat jelata dan juga negara dalam meningkatkan pendapatan keseluruhannya.
Antara cadangan yang diberi dan boleh dibahaskan untuk permasalahan pertama ada dua penyelesaian iaitu pertama, dikenakan cukai ke atas simpanan syarikat dan korporat. Kedua, dikenakan cukai ke atas saham di Bursa Saham Malaysia pula.
Cadangan Pas berasas dan amat praktikal juga untuk dilaksanakan kerana antara impaknya akan meningkatkan pendapatan negara kepada RM51.5 bilion mengatasi pendapatan daripada GST pula iaitu RM31 bilion.
Selain itu, menurut Pas lagi, merujuk kepada Buku Hijau, jurang antara kaya dan miskin dapat dikurangkan pula secara signifikan, kemampuan belanja dan kekuatan modal untuk golongan B40 akan dapat ditingkatkan dan seterusnya melonjakkan negara ke arah negara rakyat berpendapatan tinggi dan negara maju akan dapat dicapai pula.
Untuk dua lagi permasalahan yang diutarakan dalam Buku Hijau ia boleh dibaca sendiri oleh tuan puan jika ingin mendapatkan penjelasan terperincinya. Setelah tuan puan membacanya, boleh juga dibuat kajian sendiri dan pada masa yang sama memikirkan akan keberkesananya.
Pihak kerajaan pula boleh membahaskan akan cadangan Buku Hijau itu. Terutama dari segi menjadikan ia realiti dan hendaklah berfikiran terbuka pula, bak kata peribahasa Melayu lama, duduk seorang bersempit-sempit, duduk bersama berlapang-lapang.
Paling penting untuk rakyat jelata dan negara juga. Rakyat jelata yang sejahtera akan menjadikan negara sejahtera pula.
Janganlah pula ego dan merasakan tidak perlu pula. Setiap cadangan perlu diberi ruang terbuka tidak kira ia cadangan daripada pihak pembangkang ataupun bukan. Yang penting seperti yang sebutkan tadi adalah untuk rakyat jelata juga.
Buanglah ego nun jauh di angkasa kerana seperti kata peribahasa Melayu lama, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Bahkan akan menjadi lebih berbisa dan digeruni pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!