'Perlu ambil tindakan terhadap Waytha Moorthy'

Mohamed Nizham (tengah) bersama ahli Pemuda Umno Kuala Lumpur hadir ke IPD Dang Wangi membuat laporan polis berhubung kenyataan Waytha Moorthy. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohamed Nizham (tengah) bersama ahli Pemuda Umno Kuala Lumpur hadir ke IPD Dang Wangi membuat laporan polis berhubung kenyataan Waytha Moorthy. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang dikatakan bertegas menyokong untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, Waytha Moorthy juga mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara ini dilihat boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum bumiputera dan mencetuskan ketegangan kaum.

"Saya membuat laporan polis ini kerana khuatir isu ratifikasi ICERD ini akan menimbulkan kegusaran rakyat Malaysia.

"Laporan ini dibuat bagi meminta pihak kerajaan mengambil tindakan terhadap beliau (Waytha Moorthy)," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dewan kecoh pembangkang bidas Moorthy isu ICERD]

Beliau berkata, laporan polis ini bukanlah semata-mata kerana mahu mendapat keuntungan politik antara Umno dan Pas.

Katanya, ini adalah mengenai satu perkara yang pihaknya lihat akan menggugat keharmonian dan kestabilan negara. Selama 60 tahun BN memerintah, tiada timbul isu yang sangat menjelikkan ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak beritahu rakan-rakan di luar sana, kita bukan menentang kaum India, Cina dan lain-lain bangsa. Tapi kita menjunjung perlembagaan yang telah dipersetujui sekian lama.

"Kerajaan hari ini perlu serius dan ambil tindakan terhadap Waytha ini. Saya percaya ramai bangsa India juga ramai tidak bersetuju dengan kenyataan Waytha ini," katanya.

Semalam, Dewan Rakyat kembali panas apabila pembangkang sepakat 'menyerang' Waytha Moorthy berhubung pendiriannya mengenai ICERD.

Moorthy yang ketika itu memberi ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019, mengenai ICERD beberapa kali 'dihentak' oleh ahli Parlimen pembangkang yang bangun mencelah untuk meminta penjelasan yang jitu mengenai ICERD.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!