Belanjawan 2020: 3,000 guru KAFA di Perak dijangka terima manfaat
IPOH - Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat (PPSR) Negeri Perak menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam.
Setiausaha agungnya, Agus Lokman Sulam berkata, kenaikan elaun itu merupakan satu penghargaan buat warga pendidik yang selama ini menerima gaji pada kadar sederhana.
Menurutnya, dengan kenaikan elaun itu, seramai 3,000 guru KAFA di Perak akan menikmati pertambahan pendapatan kepada RM1,200 sebulan kerana sebelum ini elaun RM900 diberikan kepada kerajaan Pusat manakala RM200 diberikan oleh kerajaan negeri.
"Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin warga pendidik yang memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dengan kadar gaji masih di tahap sederhana.
"Bantuan kepada warga pendidik ini disifatkan sebagai pelaburan yang berbaloi kepada pembangunan sesebuah negara kerana melahirkan generasi masa depan yang berilmu," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Agus Lokman berkata, selain peruntukan yang diumumkan itu, kerajaan diharap dapat melihat keperluan lain seperti bantuan perkapita dan elaun guru besar KAFA agar jumlah dapat dipertingkatkan selari dengan bebanan tugas dipikul.
Menurutnya, sumbangan dan bantuan dana dalam kalangan masyarakat juga penting selain peruntukan kerajaan agar peranan guru-guru KAFA ini terus diangkat pada tahap terbaik.
Beliau berkata, seperti Tabung Kebajikan Guru KAFA yang dilancarkan pada 26 Ogos lalu oleh Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, orang ramai boleh membantu menyalurkan dana kepada warga pendidik bagi meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah agama rakyat.
Mengenai peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian sebanyak RM25 juta yang diumumkan dalam bajet sama, beliau mengharapkan peruntukan itu sampai kepada sasaran.
Menurutnya, bukan sahaja perlu sampai kepada golongan atau kelompok sasar tetapi pemberian peruntukan itu mesti disegerakan.
Pada pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM100 sebulan kepada 33,200 guru KAFA sedia ada dengan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!