Pati dikejutkan pihak berkuasa malam tahun baru
Itu antara ‘kejutan’ Ops Bersepadu Cegah Jenayah Ambang Tahun Baharu 2019 di sekitar Bandar Sultan Suleiman, Jalan Klang Sentral dan Taman Sungai Kapar Indah, di sini, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
Operasi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada jam 10 malam kelmarin, dijalankan hasil aduan awam dan risikan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, seramai 269 Pati berusia 20 hingga 50 tahun termasuk 16 wanita yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menetap lebih masa di negara ini dicekup.
“Tangkapan susulan pemeriksaan di rumah kongsi serta premis perniagaan membabitkan warga Indonesia (16 orang), Bangladesh (123 orang), China (49 orang), Myanmar (25 orang), India (51 orang) dan selebihnya lain-lain negara.
"Kesemua mereka ini diserahkan kepada pihak imigresen Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1963," katanya.
Tambahnya, pelaksanaan operasi bersepadu itu bertujuan bagi mencegah dan membanteras jenayah termasuk membabitkan narkotik dan trafik.
"Sepanjang operasi berakhir jam 6 pagi semalam itu, kita menjalankan pemeriksaan ke atas seramai 307 warga tempatan yang mana dua daripada mereka ditahan atas kesalahan dadah.
"Ia membabitkan seorang penganggur lelaki berusia 31 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 18 tahun memiliki ganja seberat 4.09 gram,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 89 saman turut dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya selain tindakan terhadap dua premis hiburan kerana melanggar syarat permit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!