Pelbagai insentif bantu rakyat miliki rumah: Zuraida
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2020 yang menyediakan pelbagai program dan insentif baharu berkaitan perumahan mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, peruntukan yang diumumkan semalam itu membawa berita gembira dan ia merupakan langkah tepat serta terperinci dalam usaha membantu rakyat memiliki rumah.
Menurutnya, antara langkah itu termasuk Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki yang bertujuan membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah.
"Melalui skim itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.
“Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Skim Perumahan Belia akan menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh serta bantuan ansuran bulanan RM200 bagi tempoh dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.
Guan Eng berkata, kerajaan juga akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dari 1 Januari 2020 kepada 31 Disember 2021 serta peruntukan RM10 bilion untuk Skim Pembiayaan Sewa oleh institusi kewangan menerusi bantuan kerajaan melalui jaminan 30 peratus.
Sementara itu, mengulas mengenai Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba yang turut diumumkan semalam, Zuraida berkata, elaun itu dilihat mampu memberi motivasi kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Elaun yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan rangsangan motivasi kepada anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!