Kajian pindaan Akta 728 di peringkat akhir

Mohd Sallehuddin mendengar penerangan peserta Konvensyen Inovasi Maqis 2019.
Mohd Sallehuddin mendengar penerangan peserta Konvensyen Inovasi Maqis 2019.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di peringkat akhir meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang antara lain bertujuan menambah baik bidang penguatkuasaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, pindaan akta itu telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah dan secara dasarnya ia telah dipersetujui.

"Ada lagi beberapa perkara yang tidak lengkap jadi kita nak perkara itu dimasukkan di bawah akta ini agar ia lebih komprehensif.

"Proses ini akan mengambil masa kerana memerlukan penglibatan pelbagai pihak dan kita juga perlu membuat penilaian kesan risiko yang melibatkan golongan sasar selepas akta ini disiapkan," katanya selepas merasmikan Konvensyen Inovasi Maqis 2019 dan pelancaran Buku Laporan Tahunan serta Pelan Strategik Maqis di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi.

Mohd Sallehuddin berkata, semua perkara berkaitan pindaan akta itu akan diselesaikan sebelum sesi Kabinet tahun depan.

Mohd Sallehuddin menyempurnakan pelancaran Buku Laporan Tahunan serta Pelan Strategik Maqis di sini hari ini.
Mohd Sallehuddin menyempurnakan pelancaran Buku Laporan Tahunan serta Pelan Strategik Maqis di sini hari ini.

"Kita akan serah kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan secara menyeluruh, setelah itu barulah dibawa kepada Kabinet yang kita sasarkan paling lewat dalam (persidangan) penggal ketiga, tahun depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, bidang kuasa Maqis yang menjalankan penguatkuasaan terhadap kemasukan makanan import di kawasan bersempadanan masih belum penuh untuk menjalankan peranannya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sallehuddin berkata, kementerian melalui Maqis telahpun membuat permohonan untuk mendapatkan lesen pengendalian senjata api bagi kegunaan anggota penguatkuasanya.

Katanya, ia merupakan satu kelengkapan yang diperlukan bagi memperkasa aspek keselamatan pegawai dan anggota sepertimana agensi penguat kuasaan lain yang mengawal kawasan sempadan.

"Kita dah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) dan nampak gayanya akan diluluskan.

"Saya sendiri akan dapatkan bajet khusus untuk perkara ini termasuklah menyediakan latihan-latihan pengendalian senjata api dalam kalangan anggota Maqis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!