Peruntukan pembangunan orang asli masih tak cukup: Aktivis
GUA MUSANG - Peruntukan RM130 juta kepada masyarakat orang asli menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam masih tidak mencukupi.
Aktivis orang asli, Nasir Dollah berkata, kerajaan sepatutnya memperuntukkan sebanyak RM700 juta kerana kos perbelanjaan untuk pembangunan orang asli sangat tinggi.
Menurutnya, pembangunan ini melibatkan beberapa kategori seperti kemudahan asas, infrastruktur, pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
"Hampir 80 perkampungan orang asli tidak mendapat manfaat sepenuhnya dari segi pembangunan. Kelantan adalah negeri yang terpinggir dari segi penyaluran kemudahan asas.
"Malah, di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) gagal mengurus isu air. Mereka masih menggunakan sumber air dari sungai yang sangat kotor.
"Banyak jalan perhubungan di pos pedalaman gagal diselenggarakan dan orang asli terpaksa mengharungi cabaran yang sangat sukar apabila tiba musim tengkujuh dengan jalan yang rosak teruk," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sampai bila orang asli bertemankan lilin?
Tambah Nasir, di Pos Hendrop, Pos Ber dan Pos Tuel juga tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik, sedangkan kawasan ini berada di pinggir bandar.
"Saya tidak rasa dasar pentadbiran kini bakal mengubah kehidupan masyarakat orang asli. Bagaimanapun, saya harap Jakoa dapat memberi perhatian khusus untuk isu kemudahan asas.
"Orang asli memerlukan jalan berturap, sumber air bersih, kemudahan elektrik dan unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!