Pensijilan Halal: Jakim nafi tuduhan rasuah libat pegawainya
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan laporan sebuah portal luar negara mendakwa berlakunya rasuah melibatkan pegawainya berkaitan pensijilan halal di Malaysia.
Ketua pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, Jakim mempunyai mekanisme kawalan dan mengamalkan sistem integriti tinggi dan telus bagi mengelakkan berlakunya amalan rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangannya.
Menurutnya, mekanisme tersebut termasuklah kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping penempatan pegawai SPRM secara sepenuh masa di bahagian yang berisiko tinggi berlakunya rasuah.
“Jakim menafikan pertuduhan dibuat oleh Murray Hunter (penulis laporan) berkaitan pegawai Jakim meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memberitahu, Jakim sentiasa komited memastikan Pensijilan Halal Malaysia berjalan berlandaskan undang-undang dan mematuhi segala peraturan.
Laporan portal bertajuk ‘Malaysia Halal Crisis’ itu mendakwa berlakunya isu integriti dan kompetensi dalam pensijilan halal di Malaysia yang dikendalikan Jakim.
Menurut laporan itu, antara kes integriti itu melibatkan seorang penjual daging dari Lubnan yang mendakwa membatalkan hasratnya melabur di Malaysia selepas pegawai Jakim meminta RM50,000 sebagai pembayaran pendaftaran.
Dalam pada itu, Mohamad Nordin meminta semua pihak termasuk penulis untuk tampil mengemukakan bukti untuk diteliti pihaknya.
Katanya, Jakim bersedia mengambil tindakan yang sewajarnya berlandaskan undang-undang.
“Isu ini yang amat serius kerana ianya boleh menyebabkan reputasi Halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!