Elaun khas rangsang motivasi 14,400 anggota bomba: Zuraida
PUTRAJAYA - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin gembira dengan keputusan kerajaan meluluskan permohonan Elaun Perkhidmatan Bomba berjumlah RM200 yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 semalam.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atas kelulusan permohonan itu.
“Elaun yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan rangsangan motivasi kepada 14,400 anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Belanjawan 2020 yang dibentangkan merupakan satu perancangan yang tepat dan terperinci dalam usaha menyelesaikan permasalahan pemilikan rumah untuk rakyat Malaysia.
“Terdapat beberapa berita gembira yang diumumkan kerajaan Persekutuan, dalam usaha membantu rakyat untuk memiliki rumah seperti pembiayaan RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan.
“Ia melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion menerusi program Pembiayaan Sewa untuk Memiliki (Rent To Own -RTO).
Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, menerusi Belanjawan 2020 juga, sebanyak RM100 juta disediakan oleh untuk membaik pulih rumah berstrata kos rendah dan sederhana.
“Ia memfokuskan usaha baik pulih lif, pendawaian elektrik, paip pembentungan dan bumbung. Selain itu, RM15 juta diperuntukkan untuk inisiatif Bandar Selamat dengan kerjasama dari pihak berkuasa tempatan.
“Antaranya bagi menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar antipanjat, serta program keselamatan lain,” katanya.
Jelasnya lagi, bagi Skim Perumahan Belia pula, kerajaan menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas.
“Tawaran itu membolehkan peminjam mendapat pembiayaan penuh dengan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan, untuk tempoh 2 tahun pertama, terhad untuk 10 ribu unit rumah bermula 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!