Chong Wei suntik dana RM2 juta kepada BAM, MSN

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tidak semua kacang lupakan kulit. Itulah gambaran sebenar mengenai legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menyalurkan dana RM2 juta kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Yayasan Lee Chong Wei.

Atas rasa kecintaan terhadap sukan yang menjadi darah dagingnya sejak 19 tahun lepas, Chong Wei menyumbang RM1.4 juta kepada BAM untuk pembangunan sukan badminton yang ditinggalkannya tanggal 13 Jun atas sebab kesihatan.

Sementara untuk MSN iaitu organisasi yang banyak membantu sepanjang kariernya, disalurkan RM600,000 untuk tujuan persediaan atlet bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah impian saya tapi saya terpaksa bersara atas sebab kesihatan. Jadi saya harap dengan dana ini, dapat membantu persediaan atlet apa yang patut untuk mereka melayakkan diri ke temasya itu," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kemuncak Bulan Sukan Negara di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Chong Wei berkata, yayasan itu juga sedang meneliti cadangan untuk menaja mana-mana atlet yang berpotensi bagi meneruskan karier mereka dalam bidang sukan selain mereka yang sukar mendapat tajaan daripada sektor swasta.

Mengulas mengenai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 yang berbaki lagi sembilan bulan itu, Chong Wei yang juga ketua kontinjen negara menasihati atlet agar menghindarkan diri daripada dilanda kecederaan dalam usaha mereka memburu slot ke temasya empat tahun sekali itu.

"Saya sendiri tidak berjaya menyumbang pingat emas buat negara namun saya harap atlet yang akan saya bawa ke Tokyo boleh berbuat demikian. Tapi apa yang penting sekarang, kita jangan beri tekanan kepada atlet dulu.

"Sukan Olimpik adalah temasya terbesar dunia dan sudah pasti cabaran memang sukar. Atlet perlu kuatkan mental mereka. Apa yang saya harapkan sekarang ialah semua atlet sihat, tidak mengalami kecederaan dan teruskan memburu kelayakan," katanya.

Mengenai beberapa sukan yang masih belum mendapat slot ke Tokyo termasuk badminton, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, semua atlet melalui tempoh yang sukar khususnya tahun ini kerana cabaran juga tidak kurang sengit daripada atlet negara lain yang mempunyai tujuan sama.
Artikel Berkaitan:


Malah, katanya, tidak adil untuk menetapkan sasaran pingat kepada atlet tertentu buat masa ini kerana kesemua mereka masih dalam perjuangan mencari tempat dan bagi yang sudah mendapat tiket secara merit, atlet berkenaan sedang menjalani latihan rapi untuk tujuan itu.

"Apa yang penting sekarang ialah kita mahu lebih ramai atlet negara layak ke Sukan Olimpik. Medal semua atlet boleh sumbang medal. Menerusi terjun, Azizul dalam sukan basikal dan memanah serta Farah Ann yang baharu sahaja layak.

"Untuk badminton pula, selepas 31 April 2020 baharu kita tahu siapa yang mendapat slot ke Sukan Olimpik. Untuk kita target medal ke atas Lee Zii Jia juga tidak tentu lagi kerana keputusan dia juga belum stabil. Apa pun, masih ada ramai lagi yang sedang mencari slot seperti hoki, memanah dan kita harap lebih ramai atlet akan layak," katanya yang akan memulakan tugas rasmi sebagai CDM, Januari tahun depan.

Untuk rekod, setakat ini lapan atlet negara layak secara merit ke Sukan Olimpik 2020. Mereka adalah Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (terjun); Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran); Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!