Belanjawan 2020 keseluruhan disifatkan sederhana

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen semalam secara keseluruhannya disifatkan sebagai belanjawan yang sederhana dan kurang memberi fokus kepada usaha menjana ekonomi negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd berkata, belanjawan kali ini lebih banyak menumpukan kepada perbelanjaan 'hangus' berbanding penjanaan ekonomi.

Di sebalik 15 strategi dibentangkan, katanya, hanya 18 peratus sahaja yang dilihat membincangkan kaedah penjanaan ekonomi.

"Keseluruhan belanjawan adalah pengenalan kepada cukai bagi membantu mengukuhkan pendapatan belanjawan ini terbahagi dua, belanja mengurus (belanja hangus) macam gaji, pencen dan lain-lain.

"Belanjawan pembangunan pula untuk pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.8 peratus pada 2019 dan untuk 2020 sebanyak 5.6 peratus. Selain itu, belanjawan kali ini adalah untuk melihat kecekapan kita mengurus dan menjana hasil.

"Ini bersesuaian dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2019 kepada 4.8 peratus pada 2020," katanya.

Muhammad Asri berkata, kekuatan belanjawan kali adalah menerusi beberapa penekanan baharu seperti menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Katanya, ini akan membantu menjana pekerjaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Belanjawan kali ini boleh saya sifatkan sebagai sederhana tetapi ia meliputi segenap lapisan masyarakat.

"Cuma apa yang kurang adalah penekanan untuk meningkatkan peranan sektor pertanian. Kita perlu cari sumber baharu, kita tak boleh tinggalkan sektor pertanian sebab ini (pertanian) adalah kelangsungan dan kelestarian.

"Lagi pun, ramai penduduk luar bandar bergantung kepada sektor pertanian ini," katanya.

Sementara itu Muhamad Nadzri berkata, pihaknya agak positif terhadap Belanjawan 2020 kali ini yang secara keseluruhannya menunjukkan kerajaan PH lebih serius dalam merancang ekonomi rakyat yang bersifat progresif, pragmatik dan insklusif.

Bagaimanapun katanya, dari sudut imbangan ekonomi, kerajaan tidak harus terlalu fokus kepada industri digital sebaliknya lebih fokus terhadap sumber alam sedia ada.

"Kita terlalu fokus kepada industri digital, sedangkan kita ada sumber alam yang banyak. Laut. Kita juga ada banyak lagi tanah hutan terbiar yang boleh kita usahakan dan ini boleh wujudkan ribuan peluang pekerjaan.

"Selain itu, kita terlalu banyak projek mega. Kita tak tolak tetapi bila terlalu besar ia akan berikan impak yang kurang berimbang dalam belanjawan negara," katanya.

Muhamad Nadzri berkata, kini perlunya projek-projek rakyat dalam usaha membantu mengurangkan masalah pengangguran khususnya dalam kalangan golongan B40 di negara ini.

"Kita boleh bantu golongan ini meningkatkan pendapatan mereka contohnya dalam bidang penternakan, pertanian, perikanan yang boleh dijadikan alat untuk mengimbangkan ekonomi. Secara tak langsung akan lahirkan masyarakat seimbang.

"Selain itu, saya tertarik dengan langkah untuk mengurangkan buruh asing dan juga langkah-langkah untuk menggalakkan kemasukan pelaburan dari luar.

"Belanjawan kali ini juga ada menyentuh berhubung ekonomi digital yang boleh membantu khususnya dari segi pemantapan ekonomi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!