Jun Hao harap terpilih sertai projek 24
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meletakkan harapan yang tinggi untuk melayakkan diri dalam Projek 24 dengan misi meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2024 sekali gus menjadi finalis Piala Thomas pada tahun yang sama.
Projek 24 diperkenalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lepas dan penilaian terhadap pemain akan bermula pada 31 Disember ini.
Jun Hao, yang berharap namanya dipilih, berazam untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya berharap agar nama saya akan terpilih dalam Projek 24. Saya yakin dengan diri saya. Masih ada masa lagi lima tahun jadi saya akan terus buat yang terbaik,” katanya selepas sesi latihan pada Hari Terbuka BAM sempena sambutan Bulan Sukan Negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Di samping itu, Jun Hao yang juga juara remaja Asia 2017 berkata beliau masih menyiapkan diri ke peringkat yang lebih tinggi untuk menggapai ranking yang lebih baik dari sebelumnya.
“Saya baru balik kejohanan dan dua minggu lagi saya akan ke Indonesia untuk perlawanan seterusnya. Pada saya, kejohanan nanti untuk mengejar ranking, jadi saya akan buat bersungguh-sungguh,” katanya.
Sementara itu, kapten skuad badminton negara, Goh Soon Huat berkata, beliau berasa lebih bertanggungjawab mengetuai skuad badminton ke Sukan SEA selepas Piala Sudirman 2019.
“Saya rasa yang paling penting adalah semangat kerjasama dan saya yakin skuad badminton ada peluang untuk bertanding di Olimpik,” katanya.
Mengenai Hari Terbuka BAM hari ini, beliau berkata, program berkenaan dapat memberi peluang kepada orang ramai melihat keadaan sebenar pemain dilatih.
“BAM patut buat program seperti ini setahun sekali,” kata Soon Huat.
Hari Terbuka BAM diadakan untuk menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan orang ramai sempena sambutan Bulan Sukan Negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!