LTTE: Dua lagi ahli DAP ditahan
MELAKA TENGAH - Dua lagi ahli DAP Melaka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) di sini, pagi tadi.
Penahanan individu berusia 38 dan 43 tahun itu disahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim.
Beliau berkata, penahanan kedua-dua individu itu dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
"Saya sahkan dua mereka ditahan namun saya tidak boleh mengulas lanjut dan Bukit Aman dijangka akan membuat sidang media esok berhubung penahanan dua individu itu," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata, kedua-dua individu yang berjawatan sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri ditahan di rumah masing-masing lebih kurang jam 10 pagi.
"Setakat ini saya dimaklumkan mengenai penahanan mereka dan saya diberitahu mereka ditahan di rumah mereka di Durian Tunggal, Alor Gajah," katanya.
Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan dua wakil rakyat termasuk dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Difahamkan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan membuat kunjungan ke rumah keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G.Saminanthan di Durian Tunggal pagi esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!