Pemilik setuju bantu penyewa kos penempatan transit

Runtuhan tanah ditutup kanvas bagi mengurangkan pergerakan tanah.
Runtuhan tanah ditutup kanvas bagi mengurangkan pergerakan tanah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik Apartmen Azalea di Kampung Seri Penchala di sini bersetuju menanggung kos pemindahan transit kepada 22 penyewa dalam bangunannya yang diarah mengosongkan rumah selepas berlaku tanah runtuh sejak malam Khamis lalu.

Seorang penduduk, Han Zainal Ahmad, 56 berkata, kata sepakat itu dicapai selepas dewan dicadangkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk penduduk kurang sesuai diduduki disebabkan sempit dengan kemudahan terhad.

Menurutnya, pemilik menanggung kos penginapan RM100 setiap hari kepada 22 keluarga dalam tempoh tujuh hari seperti ditetapkan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk kajian kestabilan tanah.

"Ia lebih kepada sumbangan bagi meringankan beban penyewa di pangsapuri itu yang terpaksa mengosongkan rumah atas tujuan keselamatan.

"Ia terpulang kepada penduduk sama ada menumpang di rumah saudara-mara atau bagi tiada tempat tinggal boleh gunakan wang itu untuk kos sewa di homestay atau hotel," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di Apartmen Azalea di sini semalam.

Han Zainal berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang ke Ipoh buat sementara waktu sehingga keputusan status kajian tanah keluar.

"Saya tak terus pulang ke kampung pada hari kejadian kerana mahu mengetahui status nasib penduduk lain selain membantu jiran-jiran apa yang perlu.

"Selepas keadaan semakin terkawal dan segala urusan selesai baru saya boleh pulang ke kampung," katanya yang tinggal di pangsapuri itu hampir 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Norhalijah Hamid, 36, berkata, dia memilih menumpang di rumah ibu mentua dan kakaknya secara bergilir-gilir sehingga dibenarkan pulang ke rumah.

"Saya dimaklumkan runtuhan pada saluran pembetungan itu tidak melibatkan struktur bangunan namun penduduk tetap diarahkan mengosongkan bangunan untuk tujuan keselamatan.

"Saya tak kisah berapa lama tempoh baik pulih kerosakan itu asalkan ia benar-benar dijamin selamat untuk diduduki. Dalam masa sama pihak terlibat jangan lepas tangan dan bantu kami sehingga isu ini selesai," katanya.

Siti Norhalijah berkata, ketika kejadian dia sekeluarga tidak berada di rumah dan hanya mengetahui runtuhan tanah tersebut melalui aplikasi WhatsApp penduduk Apartmen Azalea.

"Masuk hari ini sudah tiga malam saya tak tidur di rumah. Hari ini singgah ke rumah ambil keperluan anak-anak untuk persiapan persekolahan pada Isnin.

"Sepanjang 14 tahun tinggal di sini, kejadian tanah runtuh ini adalah kali pertama berlaku. Saya tak bercadang untuk berpindah kerana selesa tinggal di sini," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan 65 penduduk daripada 22 keluarga yang tinggal di Apartmen Azalea diarah mengosongkan rumah selepas berlakunya tanah runtuh di kawasan belakang pangsapuri pada jam 9 malam Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh, 24 unit kediaman diarah kosong

Kejadian di Blok A itu dilaporkan berlaku selepas hujan lebat berterusan sejak jam 3 petang.

Han Zainal mengambil barangan diperlukan dari rumah sewanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di Apartmen Azalea Seri Penchala hari ini.
Han Zainal mengambil barangan diperlukan dari rumah sewanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di Apartmen Azalea Seri Penchala hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!