Rakyat berisiko turunkan nilai ambang hartanah

Hanafi Zulkapli
Hanafi Zulkapli
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat bakal berdepan pelbagai masalah selain berlaku lambakan warga asing berikutan kerajaan menurunkan nilai ambang untuk pemilikan hartanah dari RM1 juta kepada hanya RM600,000.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, sangat rendah idea kerajaan untuk selesaikan masalah ‘overhang unit’ dengan menjual sahaja dengan warga asing.

"Nilai RM600,000 sangat rendah kepada warga negara-negara berpendapatan tinggi contohnya jiran terdekat Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bagi Pemuda Pas Selangor, langkah itu sangat membimbangkan dan masa sama menggesa Selangor tidak mengikuti garis panduan Kerajaan Pusat.

"Langkah ini bagaikan hanya untuk membantu pemaju-pemaju besar yang sebelum ini berkejaran untuk bina hartanah dengan harga tinggi tanpa membuat kajian kemungkinan yang sepatutnya mereka buat dengan teliti.

"Ia adalah kesilapan besar pemaju sendiri kerana tidak meletakkan asas hukum ‘penawaran vs permintaan’. Ia mengakibatkan unit-unit mereka gagal dijual kerana tidak memahami kehendak ‘permintaan pasaran’," katanya.

Katanya, apabila kesilapan berlaku di pihak pemaju, mengapa pihak kerajaan pula yang berusaha menyelesaikan masalah mereka. Maka sangat beruntunglah mereka, golongan kaya semakin dibantu atas silap mereka.

"Inilah masa terbaik untuk pemaju menyedari bentuk dan julat harga hartanah yang sewajarnya mereka bina, bukan hanya berpaksikan kepada profit tetapi jika mereka ‘dibantu’ pihak kerajaan, maka risiko gelembung hartanah boleh terjadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hanafi berkata, inilah waktu terbaik untuk membetulkan pasaran (market correction) hartanah yang dikatakan naik mencanak sebelum ini dan meninggalkan kadar kemampuan rakyat.

"Pemuda Pas Selangor amat mengharapkan langkah Kerajaan Pusat tidak diikuti Kerajaan Selangor. Ini adalah berdasarkan rekod sebelum ini ada kecenderungan besar kerajaan-kerajaan negeri untuk mengikuti garis panduan harga ambang pemilikan oleh warga asing.

"Kerajaan Selangor perlu lebih aktif dalam mengawal projek baharu oleh pemaju supaya menepati kelayakan golongan M40 dan B40 sebagai target pasaran terbesar.

"Ini bagi mengelakkan isu lambakan unit rumah baru tidak terjual semakin membarah teruk," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!