Aliff idam tiru sentuhan emas ayah
TIDAK pernah sesaat pun Muhamad Aliff Mazlan terlupa bahawa dia mempunyai ayah dan bapa saudara malah nama mereka tercatat dengan tinta emas selaku pemenang empat gelaran Liga Malaysia pada era 90-an.
‘DNA’ bola sepak mereka juga sentiasa mengalir pada tubuhnya. Siapa yang tidak kenal Mazlan dan Sapian Wahid ketika itu - penjaga gol dan penyerang skuad negara.
Mazlan juga menjuarai Piala FA 1992, Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998 bersama Sarawak manakala adiknya itu membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia 2001.
Sebagai anak, walaupun bermain di posisi berlainan – bek tengah, Aliff pasti teringin mengikut jejak bapanya dan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79 malam ini pasti menjadi gelanggang terbaik untuk melakukannya.
Namun Kapten Kuala Lumpur ini tidak pernah menganggap laluan mereka bagi perhitungan juara di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu lebih mudah berbanding lawan, Majlis Sukan India Malaysia (MISC).
“Kuala Lumpur terpaksa bangkit menghidupkan peluang ke suku akhir setelah tewas 4-2 kepada Perak ketika perlawanan pertama kami dalam Kumpulan D di Sintok, Kedah pada 15 September lalu,” katanya.
Skuad bimbingan Zolkipli Samion mengatasi Perlis 3-0 dan Kedah 1-0 untuk muncul naib juara kumpulan sebelum mengatasi Negeri Sembilan 3-1 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) FC 2-0 dalam suku dan separuh akhir di ibu kota.
“Setiap lawan ada kelebihan masing-masing malah perlawanan pertama kami agak patah semangat setelah kalah dengan Perak namun kami tetap kembali berikan komitmen untuk pastikan Kuala Lumpur kembali bersaing sehingga ke final (hari ini),” katanya.
Pendatang baharu PERR, MISC dilihat mengharungi laluan lebih getir sebelum menjuarai Kumpulan A di Jitra apatah lagi mengatasi lawan lebih berpengalaman seperti Selangor dan Polis Diraja Malaysia selain menumbangkan bekas juara, Pulau Pinang dan Perak dalam suku dan separuh akhir.
“MISC tetap sebuah pasukan kuat. Mereka ada ramai pemain muda tetapi kami akan cuba kekang kemampuan MISC sedaya upaya seterusnya bergelar juara sebagai membalas kepercayaan kepada pengurusan pasukan.
“Dua tahun lalu ketika saya mula menyertai Kuala Lumpur, kami disekat dalam separuh akhir oleh Kelantan. Sudah 25 tahun Kuala Lumpur tidak masuk final dan bergelar juara, adalah sedikit berdebar dan gementar tetapi kami bertekad berikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu laluan Kuala Lumpur dijangka lega dengan ketiadaan seorang tonggak MISC, Muhammad Alif Ros Hashidan yang sudah mengutip tiga kad kuning dan terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan.
Jurulatih Negeri Sembilan, Rahimuddin Rahman memilih Kuala Lumpur, lawan yang mengalahkan mereka 3-1 dalam suku akhir 27 September lalu di Arena Universiti Malaya, sebagai bakal juara PERR sekali gus mengaut hadiah wang tunai RM40,000.
“Kuala Lumpur berdisiplin dalam menyerang dan bertahan. Kekuatan mereka juga banyak berkisar kepada serangan balas namun MISC perlu memanfaatkan kelemahan lawan pada benteng kiri dan kanannya,” katanya.
MISC sebaliknya menjadi pilihan juara dan mempunyai kelebihan menurut jurulatih DBKL FC, Azri Aziz.
“Jentera tengah dan serangan MISC lebih menyerlah,” katanya yang pasukannya seri 1-1 dengan skuad Yogeswaran Veeramalai itu dalam Kumpulan A.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!