Hotel Hard Rock runtuh: Seorang maut, dua masih hilang
NEW ORLEANS - Seorang maut manakala dua lagi hilang dalam insiden runtuhan di tapak pembinaan Hotel Hard Rock Casino di New Orleans, Amerika Syarikat semalam.
Ketua Pasukan Bomba New Orleans, Tim McConnell berkata, enam hingga lapan lantai bangunan hotel itu runtuh.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan kemungkinan berlakunya satu lagi runtuhan disebabkan struktur bangunan yang tidak stabil.
"Bangunan tidak stabil dan mungkin akan berlaku lagi runtuhan," katanya ketika mengesahkan kejadian itu dalam sidang akhbar.
McConnell berkata, kini pasukannya masih meneruskan pencarian dua mangsa yang hilang dalam insiden berkenaan.
Dalam insiden itu, kira-kira 20 mangsa dibawa ke hospital namun keadaan mereka dilaporkan stabil.
Beberapa saksi berkata, mereka terdengar bunyi kuat daripada runtuhan itu seolah-olah bangunan itu dilanggar pesawat.
Hotel Hard Rock Casino yang terletak di persimpangan Rampart Street dan Canal Street setinggi 18 tingkat dengan 350 bilik telah dibina hampir setahun dijangka dibuka pada musim bunga tahun hadapan.
Bangunan hotel itu juga akan mempunyai 62 kondominium.
Sementara itu, Gabenor Louisiana, John Bel Edwards meminta orang ramai supaya tidak mendekati lokasi runtuhan bagi mengelak kejadian tidak diingini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!