Ahmad Maslan nafi terima cek 1MDB

Ahmad (dua dari kanan) sewaktu sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Piai hari ini.
Ahmad (dua dari kanan) sewaktu sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Piai hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tetap dengan pendiriannya menafikan pernah menerima dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Ahmad, perkara itu sebenarnya bukan perkara baharu tetapi kali ketiga yang mana sebelum SPRM, beliau juga sudah memberi keterangan kepada pasukan polis berhubung siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa).

“Mengenai perkara ini, saya pernah dipanggil polis pada hujung tahun lalu untuk siasatan di bawah Amlaftfa berbanding penerima lain dalam senarai SPRM baru-baru ini. Saya seorang sahaja yang dituduh menerima cek tunai.

“Adalah butiran-butiran ditunjukkan, macam salinan cek berkenaan tetapi jika itu adalah cek tunai mana ada nama penerima, bagaimana mereka boleh kaitkan saya dengan dana tersebut.

“Sebab itu daripada awal saya sudah nafikan kerana saya memang tidak ambil apa-apa duit, ingat dah selesai tetapi sekali lagi perkara ini dibangkitkan kali ini oleh Ketua Pengarah SPRM pula,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat UMNO Tanjung Piai di sini hari ini.

Ahmad berkata, rentetan daripada perkara itu, beliau pula yang terpaksa berhadapan dengan tuduhan selain perlu menjelaskan kompaun daripada punca yang dilihat tidak munasabah.

“SPRM sudah keluarkan kompaun kepada senarai individu yang disebutkan termasuklah saya tetapi yang menjadi persoalan sekarang kenapa kompaun dikenakan sehingga gandaan 2.5 daripada nilai yang diterima. Sebelum ini tidak pernah berlaku.

“Saya bersama semua nama yang disebutkan akan bertemu dengan peguam dan apa-apa keputusan kita akan jelaskan selepas itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pertemuan itu akan berlangsung di Bangunan PWTC esok (13 Oktober) dan dijangka beberapa tokoh terkemuka UMNO juga akan turut serta.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu, parti politik, syarikat dan badan organisasi yang dipercayai menerima dana 1MDB.

Katanya, jumlah keseluruhan dana tersebut adalah RM420 juta dengan purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!