Motac amal konsep berbelanja secara berhemah
BANGI - Perbelanjaan secara berhemah akan menjadi teras utama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi memastikan peruntukan RM1.1 bilion yang diterima kementerian itu pada Belanjawan 2020 Jumaat lalu dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, peruntukan yang diterima itu bukan hanya tertumpu kepada aktiviti kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) semata sebaliknya meliputi semua aktiviti di bawah kementerian tersebut.
"Sebenarnya jumlah keseluruhan RM1.1 bilion (yang diumumkan pada Belanjawan 2020) itu adalah jumlah keseluruhan (untuk semua aktiviti), bukan untuk TMM 2020.
"Sebaliknya ia melibatkan pembayaran gaji kakitangan, pengurusan dan sebagainya. Jadi di sini pentingnya kita amalkan konsep berbelanja secara berhemah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian hadiah Bangi Wonderland Nature Run di sini hari ini.
Penganjuran program kali ketiga itu menyaksikan seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian.
Menurutnya, meskipun secara dasarnya peruntukan diterima itu besar namun perbelanjaan bagi setiap program dilaksanakan juga menelan kos yang tinggi.
"Kita akan berjimat cermat dan memantau perbelanjaan semasa tetapi dalam masa yang sama kempen TMM 2020 berjalan lancar," katanya.
Sementara itu, Mohamaddin yakin ia akan mencapai sasaran 30 juta pelancong ke negara ini sempena kempen TMM 2020.
"Kempen yang berjalan sejak tahun lalu ini juga turut memperlihatkan perkembangan sangat positif," katanya.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM1.1 bilion kepada Motac pada pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!