Fasiliti awam, swasta di Pahang belum mesra OKU

A
A
A

KUANTAN - Fasiliti awam dan swasta di negeri Pahang terutama bandar Kuantan perlu dinaiktaraf dan ditingkatkan dengan pelbagai aspek yang lebih mesra orang kurang upaya (OKU).

Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), Datuk Burhah Mohammed berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kemudahan awam yang lama seperti bangunan dan pasar raya, tandas awam dan pusat rekreasi antara yang perlu diberikan perhatian.

"Saya melihat fasiliti di negeri ini belum mesra OKU sepenuhnya terutama bangunan lama. Oleh itu Teratai cakna mengenai kebajikan dari sudut ini dan akan berusaha mencari jalan terbaik dengan kepimpinan kerajaan Pahang.

"Penting untuk kita mewujudkan dan menanam nilai-nilai kasih sayang serta penghargaan dalam kalangan masyarakat terhadap kebajikan dan kesejahteraan anak-anak istimewa dan kurang upaya," Katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pusat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Negeri Pahang di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Salah seorang OKU mengambil peluang bergambar dengan Wan Rosdy (kiri).
Salah seorang OKU mengambil peluang bergambar dengan Wan Rosdy (kiri).

Menurutnya,, program sebegitu diharapkan dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi anak-anak istimewa dan kurang upaya untuk bersama dalam komuniti serta arus pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

"Antara objektif yang ingin dicapai ialah memberi kefahaman kepada golongan wanita dan remaja terhadap peranan dalam mencapai pembangunan modal insan dan bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan sosial.

"Kesudian Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan menunjukkan sikap mengambil berat dalam membantu golongan istimewa dan kurang upaya sekali gus memberi ruang untuk mengenali dan menghargai kelebihan diri mereka," katanya.

Dalam pada itu, pada program berkenaa, sebanyak RM104,000 diperuntukkan kepada 52 PDK seluruh Pahang.

Salah seorang OKU mengambil peluang bergambar dengan Wan Rosdy (kiri).
Salah seorang OKU mengambil peluang bergambar dengan Wan Rosdy (kiri).

"Setiap PDK menerima RM2,000 tunai serta hamper makanan. Sumbangan disalurkan kewangan Teratai dan sumbangan kerajaan Pahang menerusi Pejabat Menteri Besar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!