Belanjawan 2020: Golongan sasar perlu terokai sumber baharu - Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Golongan sasar seperti petani, nelayan, penoreh perlu kreatif dan mengambil peluang di atas pengumuman Belanjawan 2020 untuk menerokai sumber atau pendapatan baharu dalam membaiki taraf kehidupan masing-masing.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, belanjawan itu diakui bertujuan untuk memperkasakan golongan tersebut yang sebelum ini hidup tertekan dengan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Menurutnya, usaha ini juga adalah untuk membantu mereka menerokai bidang pertanian yang lain seperti Pulau Langkawi yang diumumkan bakal dijadikan sebagai pusat pengeluaran padi pulut di negara ini.

"Ini adalah satu pendekatan baharu bertujuan meningkatkan pendapatan petani itu sendiri. Saya kira apa jua peruntukan yang disediakan kerajaan pusat adalah untuk membuka ruang kepada kita mencari sumber-sumber yang baharu dan tidak bergantung sangat kepada pendekatan konvensional.

"(Sebelum ini) sawit dan getah bergantung sangat kepada harga pasaran. Saya lihat sudah ada bajet untuk mempromosikan minyak sawit kita dan sangat membantu termasuk hujah-hujah positif untuk melawan kempen di peringkat antarabangsa. Jika tidak ada silap-silap harga sawit akan terus menjunam," katanya pada sidang akhbar sempena Forum Pasca Bajet 2020 di Hotel TH Alor Setar hari ini.

Mukhriz (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Forum Pasca Bajet 2020 sambil disaksikan Ahmad Bashawir (dua dari kanan) di Hotel TH Alor Setar hari ini.
Mukhriz (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Forum Pasca Bajet 2020 sambil disaksikan Ahmad Bashawir (dua dari kanan) di Hotel TH Alor Setar hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mukhriz berkata, negara juga perlu fokus kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) jika mahu terus bersaing dengan negara-negara maju yang lain.

Katanya, sekiranya negara tidak bermula dari sekarang, kita akan ketinggalan, kos semakin meningkat dan negara akan ketinggalan kepada negara-negara lain yang sedang berusaha menguasai IR 4.0 tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkanlah banyak negara lain seperti Indonesia dan Vietnam yang juga beri tumpuan kepada IR4.0 dan ia boleh membantu negara-negara membangun termasuk Malaysia untuk memintas negara maju kalau kita beri tumpuan kepada teknologi terkini.

"Jadi saya bangkitkan perkara ini kepada UUM (Universiti Utara Malaysia) mengenai IR 4.0 kerana bidang ekonomi dan kewangan hari ini sudah banyak didigitalkan dan kerjasama industri dengan universiti ini sangat penting sebenarnya kerana kita menguruskan sumber terhad," katanya.

Turut hadir Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahamad Bashawir Abdul Ghani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!