Turun harga hanya untuk unit tak terjual sahaja, kata Guan Eng
KUALA LUMPUR - Langkah pengurangan nilai had bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar kepada RM600,000 daripada RM1 juta untuk pemilikan asing hanya terpakai kepada unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang masih tidak terjual, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 itu akan berkuat kuasa dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 sahaja dan tidak merangkumi projek baharu yang belum dilancarkan.
“Unit sedia ada yang tidak terjual merupakan kediaman yang tidak dapat menarik pembeli tempatan. Sehubungan itu, kelonggaran mengurangkan nilai had untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri tidak akan menidakkan hak pembeli tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, langkah ini dijangka memanfaatkan sektor hartanah tanpa menjejaskan kepentingan warga Malaysia.
“Pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana sekiranya mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan kekal sebagai unit tidak terjual,” katanya.
Katanya, langkah berkenaan dicadangkan bagi membantu mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.
“Sekiranya unit tersebut dapat dijual, ia secara langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara,” katanya.
Katanya, Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran tersebut berhubung pengurangan nilai had bagi memastikan objektif dasarnya tercapai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!