LTTE: Biar polis buat kerja, jangan beri tekanan
KUALA TERENGGANU - Siasatan terhadap kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) perlu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa sebarang tekanan dan campur tangan politik.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, siasatan berhubung isu itu perlu dijalankan tanpa sebarang tekanan oleh pihak tertentu yang menggunakan jawatan di dalam politik.
“Saya menyelar sikap beberapa individu dalam kalangan pemimpin DAP yang seolah-olah mendesak dan memberikan tekanan kepada PDRM supaya melepaskan tertuduh.
“Ia seperti satu intimidasi dan cubaan mempengaruhi PDRM yang sedang menjalankan tugas dan menyiasat kes terbabit,” katanya menerusi kenyataan di media sosial Facebooknya.
Muhammad Khalil yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, sebagai ahli parlimen dan anggota kerajaan, tindakan mendesak dan memberikan tekanan kepada penjawat awam terutamanya anggota PDRM yang sedang menjalankan tugas adalah tidak bermoral dan tidak berintegriti.
“Sepatutnya tiada siapapun dalam kalangan anggota parti pemerintah mahupun parti yang mewakili parti pemerintah berhak masuk campur dalam siasatan ini.
"Siasatan terhadap isu itu akan dijalankan secara adil dan saksama berdasarkan profesionalisme dan integriti yang ada pada PDRM.
“Bagi saya mereka yang campur tangan dalam siasatan kes PDRM ini wajar diambil tindakan tidak kira siapa sekalipun," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Haram bersimpati perjuangan LTTE: Abdul Hadi
Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan dua wakil rakyat termasuk dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan LTTE.
Semalam, dua lagi ahli DAP Melaka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!