Mansuh tol: Fomca sambut baik jaminan kerajaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyambut baik usaha kerajaan memansuhkan tol motosikal di tiga laluan.

Timbalan Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, begitu juga dengan jaminan kerajaan bahawa penghapusan tol motosikal itu langkah awal kepada pemansuhan tol sepenuhnya.

“Kita harap pemansuhan tol dapat direalisasikan berdasarkan manifesto PH. Walaupun sebelum ini kerajaan kata agak sukar untuk memansuhkan subsidi tol kerana melibatkan kos yang besar.

“Apatah lagi dengan kekangan kewangan kerajaan yang dikatakan memiliki hutang RM1 trilion. Tapi dengan langkah awal dan jaminan kerajaan ini, pastinya ia sesuatu yang positif dan disambut baik oleh rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemansuhan tol motosikal di tiga laluan adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto PH pada PRU14.

Menurut Guan Eng, keputusan itu adalah langkah permulaan ke arah pemansuhan sepenuhnya tol di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, rakyat sememangnya menaruh harapan besar tol akan dimansuhkan sepenuhnya.

“Salah satu sebab rakyat pilih PH adalah kerana janji pemansuhan tol. Namun, jika tak dapat mansuhkan tol, mungkin penstrukturan kadar tol itu akan sedikit sebanyak membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sama ada kerajaan kekalkan kadar tol atau kurangkan secara beransur-ansur. Walaupun tidak menepati janji, tetapi sekurang-kurangnya rakyat dapat lihat usaha kerajaan sehingga tol betul-betul mansuh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!