Peminat ikan laga perlu daftar dengan Jabatan Perikanan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PORT DICKSON - Peminat ikan Laga atau Betta di negeri ini disaran supaya berdaftar dengan Jabatan Perikanan negeri bagi tujuan penyimpanan data dan juga bantuan yang boleh disalurkan jabatan itu, kata Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip.

Beliau berkata, ini termasuklah bantuan dalam memberikan kursus kepada mereka dalam aspek penjagaan dan makanan.

“Ini sudah pasti akan dapat mengembangkan lagi industri ikan hiasan ini selain dapat menyuntik semangat keusahawanan terutama dalam kalangan golongan belia yang didapati menjadi trend sekarang ini sebagai usahawan ikan hiasan ini (Betta).

"Sebenarnya ikan Betta Malaysia berpotensi dipasarkan ke luar negara, malah, sudah ada penternak yang berjaya membuat jualan sehingga ke Jerman dan Itali, tetapi bukanlah dengan kuantiti yang besar kerana kebanyakannya dijual secara dalam talian dan menggunakan khidmat kurier," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup Pertandingan Ikan Betta Peringkat Negeri Sembilan 2019 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir di Pusat Ikan Hiasan (PIH) di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ikan Betta atau juga dikenali sebagai 'ikan laga' atau 'pelaga' atau 'pelaga Siam' merupakan ikan hiasan yang cukup popular dan mempunyai ramai peminat di seluruh Malaysia dan luar negara.

“Sektor ikan hiasan sememangnya industri perikanan yang penting dalam negara, selain pengeluaran akuakultur atau pendaratan ikan untuk makanan. Ini kerana sektor khusus untuk penggiat hobi ini telah berjaya mengeluarkan 325 juta ikan pada tahun 2017 sahaja.

“Perkara itu juga sekali gus telah berjaya menjana pulangan yang bernilai RM340 juta kepada pendapatan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pertandingan itu dimenangi Muhammad Amirul Aizet Jamaluddin dari Batu Cave, Selangor yang membawa pulang wang tunai RM1,500 dan trofi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!