Saudara baharu minat seni khat

Antara lukisan khat yang dihasilkan Rosalind.
Antara lukisan khat yang dihasilkan Rosalind.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kecantikan dan kehalusan seni tulisan khat menambat hati seorang suri rumah yang juga merupakan saudara baharu.

Rosalind Lau Shy Ping, 30, dari Bukit Kuang, Kemaman berkata, dia mula mengagumi tulisan khat ketika kali pertama melakarkan kesenian Islam itu.

"Kali pertama mencuba tulisan ini, saya dah jatuh cinta. Khat adalah salah satu hasil kesenian yang indah dan halus serta berfungsi untuk menyerlahkan lagi sesuatu penulisan.

"Kita juga dapat mengungkap sesuatu maksud melalui tulisan khat," katanya.

Roslind berkata, minat mendalam terhadap tulisan itu sekaligus mendorong dia untuk berazam memelihara kesenian itu agar terus kekal sepanjang zaman.

"Khat menjadi unsur penting daripada cabang-cabang kesenian yang masih terpelihara hingga ke hari ini. Saya suka mencuba sesuatu yang baharu, bagi saya tulisan khat mempunyai pesona tersendiri," katanya.

Suri rumah sepenuh masa yang mula memeluk Islam pada 2013 itu berkata, selain melukis untuk koleksi sendiri, dia juga menerima tempahan daripada pelanggan.

"Saya gemar melukis sejak kecil. Saya suka cuba semua jenis lukisan seperti potret, buah-buahan 3D dan paling saya suka lukis kartun. Saya pernah cuba lukisan landskap tetapi masih perlu dibaiki lagi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tulisan khat, ada kalanya saya mengambil tempahan berdasarkan permintaan pelanggan yang berminat untuk menjadikan ia sebagai koleksi atau hadiah," katanya.

Rosalind mendirikan rumahtangga bersama Nik Mohd Khairul Azfar Mokhtar, 28, dan dikurniakan tiga anak, Kimberly Lau, 6; Roselyn Lau, 4 dan Qiara Lau, 2.

Anak kedua daripada empat beradik itu mempunyai seorang kakak yang menetap di Hong Kong, seorang adik lelaki serta seorang adik perempuan.

Mengakui pernah dipulaukan masyarakat selepas memeluk Islam, sokongan dan dorongan diterima menjadi penguat semangat untuk dia terus istiqamah.

"Hubungan erat dengan masyarakat yang berbilang kaum banyak menyuntik semangat saya. Masyarakat Islam juga amat sepakat malah mereka tidak membezakan walaupun saya berlainan agama.

"Dari situ juga saya bertemu jodoh sehingga membawa saya memeluk agama Islam," katanya.

Katanya, sokongan daripada keluarga juga menjadi benteng kepada dirinya setelah memeluk Islam.

"Keluarga saya sendiri termasuk belah suami tidak pernah biarkan saya sendiri sejak saya mengucap dua kalimah syahadah sehingga belajar ilmu agama, daripada membaca iqra hingga al-Quran.

"Mereka juga mendorong saya untuk menyertai mana-mana acara termasuk pertandingan syarahan yang merupakan minat saya sejak di bangku sekolah. Saya bersyukur dapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa," katanya.

Rosalind memenangi johan bagi mewakili Terengganu dalam pertandingan syarahan sempena program Mahrajan Amal Islami peringkat kebangsaan di Seberang Perai, Pulau Pinang pada 18 Ogos lalu.
Rosalind memenangi johan bagi mewakili Terengganu dalam pertandingan syarahan sempena program Mahrajan Amal Islami peringkat kebangsaan di Seberang Perai, Pulau Pinang pada 18 Ogos lalu.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!