Pekerja kilang rugi lebih RM17,000 terpedaya skim pelaburan
KUANTAN - Keuntungan yang dikecapi lebih RM4,700 dengan modal pelaburan hanya RM2,500 mendorong seorang pekerja kilang kayu dari Mentakab menambah nilai pelaburannya bagi mendapatkan untung yang lebih besar.
Namun impian pemuda berusia 22 tahun itu untuk mengandakan wang RM17,500 yang baharu dilaburkan September lalu berkecai apabila dia bukan sahaja tidak menerima untung yang dijanjikan malah modal pelaburannya juga turut lesap.
Ketua Jabatan Siasatan jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terlibat dalam skim pelaburan itu melalui seorang wanita yang dikenali melalui laman sosial Facebook Julai lalu.
Menurutnya, wanita terbabit (suspek) mengiklankan peluang pelaburan atas nama sebuah syarikat yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga berjaya menarik minat mangsa untuk menyertainya.
“Mangsa membuat pelaburan pertama pada bulan yang sama sebanyak RM500 dan mendapat pulangan keuntungan RM980.
“Pada bulan berikutnya, mangsa menambah jumlah pelaburan kepada RM2,000 dan mendapat keuntungan RM3,800,” katanya.
Mohd Wazir berkata, berdasarkan pulangan yang diterima melalui dua kali pelaburannya itu, mangsa meningkatkan lagi nilai pelaburannya sebanyak RM17, 500 September lalu dengan harapan mendapat pulangan keuntungan lebih besar.
“Bagaimanapun impian mangsa tidak kesampaian apabila keuntungan yang diharapkan langsung tidak diterima manakala status modal pelaburannya juga tidak diketahui.
“Mangsa yang syak telah tertipu tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek untuk berurusan namun mungkin dengan keuntungan yang diterima sebelum ini, dia yakin dengan syarikat pelaburan itu untuk terus melabur.
“Susulan laporan polis yang dibuat mangsa semalam, polis membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan suspek berdasarkan nombor telefon digunakan serta identiti pemilik syarikat pelaburan terlibat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!