Bolehkah hantar makanan tidak halal, syubhah?

PENGHANTARAN makanan yang tidak halal dan syubhah akan memberi kesan kepada wang yang diterima hasil kerja yang dilakukannya itu. -Gambar hiasan
PENGHANTARAN makanan yang tidak halal dan syubhah akan memberi kesan kepada wang yang diterima hasil kerja yang dilakukannya itu. -Gambar hiasan
A
A
A

PADA masa kini, khidmat pesanan dan penghantaran makanan secara dalam talian bukan sahaja menjadi trend, tetapi juga seakan-akan satu keperluan pula.

Masakan tidak, ia menjimatkan masa kita tanpa perlu keluar membeli makanan dan bersesak-sesak selepas seharian penat bekerja.

Malah, ramai yang menjadikan tugas sebagai penghantar makanan dalam talian itu sebagai kerja sampingan mereka untuk menambah pendapatan keluarga.

Ya, itulah realiti kehidupan sekarang yang memerlukan kemudahan untuk melicinkan rutin harian kita.

Meskipun sudah ada kemudahan sebegitu, sebagai orang Islam, bolehkah kita menghantar makanan yang tidak halal daripada kedai yang tidak mendapat status halal? Apakah hukumnya jika barang makanan tidak halal yang dihantar itu bukan arak?

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, perlu kita fahami bahawa rezeki yang halal datangnya daripada jalan yang halal dan tidak syubhah.

Walaupun tidak menjual makanan yang tidak halal itu, namun secara tidak langsung seseorang itu terlibat dalam penghantaran makanan yang rata-ratanya adalah haram dan syubhah.

Maka, wang yang diterima akan terkesan dengan syubhah juga.

Artikel Berkaitan:

Daripada Abi Abdillah Nu’man bin Basyir, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembala binatang gembalanya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun binatang-binatang tersebut akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan ALLAH adalah apa yang DIA haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa dia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, kita dinasihatkan agar memilih pekerjaan atau menghantar makanan atau produk yang jelas tidak mengandungi unsur-unsur syubhah atau sebarang keraguan.

Sebenarnya, dalam pasaran, ada juga khidmat penghantaran makanan halal yang ditawarkan.

Sebaiknya, pilihlah perkhidmatan atau menghantar makanan yang diyakini dari segi halalnya.

Mengelak diri daripada melakukan suatu perkara yang syubhah adalah lebih baik.

Kepada mereka yang tidak tahu atau pernah 'terjebak' dengan pekerjaan berkenaan, lebihan wang yang diterima sebelum ini boleh diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!