Johor cadang kerajaan teruskan Skim Rumah Mesra, PPR
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mencadangkan kerajaan Persekutuan meneruskan Skim Rumah Mesra dan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang disewakan.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi tujuan itu kerajaan wajar menyalurkan peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kerajaan Johor mencadangkan supaya peruntukan diberikan kepada KPKT agar dapat meneruskan Skim Rumah Mesra.
"Skim Rumah Mesra ini skim membina rumah atas tanah sendiri atau tanah milik orang lain yang telah mendapat izin pada harga kos yang diberikan diskaun.
"Kita cadangkan teruskan juga pembinaan rumah PPR bagi maksud sewaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas soal pelbagai inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan Kementerian Kewangan, Dzulkefly melahirkan keyakinan rakyat Johor boleh memiliki rumah impian mereka.
"Saya menyambut baik beberapa inisiatif di bawah Strategi 11 berkaitan meningkatkan akses kepada sektor perumahan.
"Saya yakin dan percaya inisiatif ini akan membolehkan rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor memiliki rumah impian mereka dan slogan kita 'Satu Keluarga, Satu Kediaman' dapat direalisasikan," katanya.
Beliau berkata, Skim Pembiayaan Sewa Untuk memiliki atau 'Rent To Own' (RTO) dengan dana sebanyak RM10 bilion akan dapat mengatasi dua isu besar yang dihadapi oleh pembeli iaitu kesukaran menyediakan bayaran 10 peratus deposit pembelian rumah dan kegagalan mendapatkan pinjaman perumahan.
Katanya, penyediaan peruntukan RM100 juta bagi penyelenggaraan perumahan awam seperti PPR dan Rumah Sewa Kerajaan satu berita gembira.
"Pengalaman kerajaan Johor hanya 40 hingga 45 peratus sahaja penyewa PPR atau Rumah Sewa Kerajaan yang membayar sewa dan kerajaan Johor terpaksa mengeluarkan peruntukan RM7 juta hingga RM8 juta setahun bagi menampung kekurangan kos kerja-kerja penyelenggaraan.
"Peruntukan ini khusus bagi penyelenggaraan perkhidmatan lif, pendawaian elektrik, paip pembetungan dan bumbung," katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut menyambut balik inisiatif kerajaan menurunkan harga lantai pemilikan rumah warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.
"Kerajaan Pusat bersetuju menurunkan harga lantai pemilikan warga asing dari RM1 juta kepada RM600,000 bagi hartanah kediaman pangsapuri dan kondominium untuk mengurangkan lambakan pangsapuri dan kondominium yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion.
"Johor merupakan negeri paling tinggi memiliki hartanah tidak terjual di Malaysia. PTG (Pejabat Tanah dan Galian Johor) sedang mengadakan bengkel yang melibatkan pelbagai agensi sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri tentang kajian harga lantai pemilikan asing ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!