Low sanjung semangat pemain Jerman
[DIKEMASKINI] PENGENDALI Jerman, Joachim Low menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang berjaya menewaskan Estonia 3-0 dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Stadium A Le Coq awal pagi tadi.
Menurutnya, pemain memberikan aksi cukup cemerlang sepanjang 90 minit dan mereka tidak terkesan walaupun perlu beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak tengah, Emre Can dibuang padang pada minit ke-14.
"Ia satu perlawanan yang sukar kerana perlu bermain dengan 10 orang. Para pemain menunjukkan bahawa mereka tidak terkesan apabila Can dibuang padang. Mereka tetap beraksi baik dan mengawal tempo perlawanan dengan cemerlang.
"Kredit perlu diberikan kepada pemain yang berjaya menjaringkan tiga gol dan mengelakkan daripada dibolosi. Ia minggu yang amat memeningkan buat saya dengan masalah kecederaan yang menghantui pasukan, namun satu kelegaan untuk menang perlawanan ini," katanya.
Dalam perlawanan itu, Ilkay Gundogan menjaringkan dua gol pada minit ke-51 dan ke-57 sebelum penyerang sensasi RB Leipzig, Timo Werner melengkapkan kemenangan Die Mannschaft menerusi gol ketiga pada minit ke71.
Dalam pada itu, kapten Jerman, Manuel Neuer percaya kemenangan itu memberikan motivasi terbaik buat pasukan untuk memburu tiket ke Euro 2020 selepas terpaksa bersaing sengit dengan Belanda dan Ireland Utara dalam kumpulan C.
"Bagi saya ia satu kemenangan penting buat kami. Kami perlu terus menang utnuk meriah tiket ke Euro dan itu apa yang kami lakukan. Jerman terpaksa bermain dengan 10 orang seawal minit ke-15 dan ia membuatkan situasi menjadi cukup sukar.
"Kami perlu merombak kembali corak permainan dan ia berjaya membantu kami meraih kemenangan. Sekarang kami perlu fokus untuk meraih kemenangan seterusnya dan mengesahkan tempat ke Euro," katanya.
Skuad kendalian Low itu kini berada di kedudukan kedua kumpulan C dengan 15 mata dan bakal berdepan Belarus, Khamis ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!