Warga Indonesia didenda guna kad pengenalan palsu

Tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan bertaraf penduduk tetap palsu di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.
Tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan bertaraf penduduk tetap palsu di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang buruh binaan warga Indonesia dikenakan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu.

Husen Osman, 53, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan sebanyak dua kali di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan bertaraf Penduduk Tetap palsu atas nama Ady Wiyono Sutowiyono sebagai pengenalan diri.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di premis rumah kedai di Jalan Temenggong, Fuji Park di sini kira-kira jam 1.08 pagi pada Rabu lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan bermula dari tarikh ditangkap.

Tertuduh akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengusiran setelah tamat menjalani hukuman itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan JIM, Rabu lalu dan dia telah mengemukakan kad pengenalan berkenaan sebagai bukti pengenalan diri.

Artikel Berkaitan:

Semakan dijalankan mendapati kad pengenalan tersebut tidak wujud selain tidak pernah memohon secara sah. Hasil siasatan tertuduh mengaku membeli kad pengenalan itu dengan harga RM300.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!