Pemindahan ibu kota tak jejas hubungan Indonesia-Malaysia
KUALA LUMPUR - Tindakan Indonesia memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan tidak akan menjejaskan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara Malaysia dan negara jiran itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, ini kerana tindakan yang dibuat itu pastinya berdasarkan kepentingan negara mereka.
"Tidak dapat dinafikan bahawa akan terdapat implikasi-implikasi kepada negara kita tetapi kerajaan percaya ia tidak akan menjejaskan hubungan dua hala yang semakin kukuh ini.
"Sebagai jiran yang rapat dan terdekat, Malaysia sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Indonesia jika diperlukan.
"Ia berdasarkan kita memindahkan pusat pentadbiran negara dari Kuala Lumpur ke Putrajaya," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) berkenaan sejauh manakah persediaan kerajaan dalam berhadapan cabaran dan peluang baharu susulan tindakan Indonesia memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, sektor pelancongan negara khususnya di Sabah dan Sarawak juga dijangka meningkat dengan ketara apabila Indonesia memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan.
Katanya, ini kerana jarak kedua-dua negeri itu dengan Kalimantan begitu hampir.
"Pemindahan ini juga (ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan) dijangka boleh membuka banyak peluang baharu bagi meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Indonesia khususnya bagi wilayah-wilayah di Borneo," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!