Solat Subuh di masjid dapat wang saku
DAMANSARA - Dalam usaha memupuk masyarakat khusus generasi muda mengimarahkan masjid, Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara mencipta kelainan apabila memberi wang saku kepada pelajar yang menunaikan solat Subuh di masjid itu.
Ketua pentadbir atau naqib masjid, Mohammad Akmal Abdul Aziz berkata, program berkenaan bermula 7 Oktober lalu dan idea tercetus ketika mengadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.
"Amaun yang diberikan RM3 untuk murid sekolah rendah manakala RM5 untuk pelajar sekolah menengah.
"Inisiatif selama seminggu sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila seramai tujuh hingga 11 remaja solat Subuh bersama ahli keluarganya di masjid," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pemberian wang saku itu hanya diberikan pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.
"Selain mengimarahkan masjid, AJK mahu menarik anak muda untuk hadir solat Subuh berjemaah di masjid.
"Secara tidak langsung, ia mengajak ibu bapa untuk turut serta bersama mereka. Ia satu pendekatan terbaik untuk kariah di sini," katanya.
Mohammad Akmal berkata, sumber kewangan adalah hasil sumbangan ahli kariah dan korporat.
"Sememangnya kami mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat dan badan bukan berkanun untuk terus menyuburkan program-program bermanfaat seperti ini.
"Sumbangan ini boleh melalui Bank Islam Malaysia Berhad, 14229010005272," katanya.
Beliau berkata, matlamat utama bukan semata-mata pemberian wang saku itu sebaliknya memurnikan budaya orang ramai berkunjung ke masjid untuk bersolat dan melaksanakan pelbagai aktiviti berfaedah.
Mohammad Akmal berkata, pengisian program terutama kepada golongan muda juga membantu mereka untuk menghabiskan masa dengan aktiviti bermanfaat pada musim cuti sekolah selain membantu mencungkil bakat baharu dalam bidang agama.
"Antara aktiviti yang diadakan seperti program Movie Night (kisah Rasul) dan pertandingn beyblade dan hafazan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!