Mydin komited bantu IKS
MYDIN Mohamed Holdings Bhd akan terus membantu usahawan dan peniaga industri kecil sederhana (IKS) untuk memasarkan produk mereka di pasar raya Mydin yang mempunyai rangkaian di seluruh negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, isu membabitkan beberapa kempen berkaitan kepenggunaan sejak kebelakangan ini sesuatu yang perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata, ia menunjukkan bahawa pengguna kini mempunyai kesedaran tinggi dan semakin bijak untuk berbelanja sekali gus pihaknya perlu memastikan kualiti produk yang ditawarkan.
"Kami juga mengambil maklum keluhan pengusaha dan usahawan IKS serta produk tertentu yang berdepan cabaran untuk memasarkan hasil mereka kerana persaingan yang semakin meluas.
"Mengenai isu membabitkan usahawan cili di Perak yang tular baru-baru ini dengan dakwaan tidak dapat memasarkan hasil kerana diboikot pemborong, kami telah mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pihak yang berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Ameer berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk memborong bekalan cili yang dipasarkan usahawan berkenaan kerana difahamkan cili berkenaan diusahakan secara bersama oleh golongan asnaf dan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Katanya, melalui inisiatif itu, MYDIN diharap akan terus menjadi pilihan pengguna untuk berbelanja dan menjadi platform kepada pembekal mahupun usahawan IKS tempatan memasarkan produk mereka secara langsung.
Beliau berkata, pihaknya menghargai sokongan semua pihak dan terus komited memberikan yang terbaik kepada pelanggan setia serta rakan strategik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!