Belajar bahasa lain bukan bermakna lupakan identiti: Permaisuri Agong
KUANTAN - Mempelajari dan mendalami bahasa lain selain bahasa kebangsaan bukanlah bertujuan melupakan identiti bangsa.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, sebaliknya dengan menguasai pelbagai bahasa boleh menyatupadukan manusia dengan budaya, bangsa dan agama dari pelbagai negara.
Oleh yang demikian katanya program seperti Fullbright English Teaching Assistanship (ETA) perlu diberikan sokongan penuh dan diperluaskan ke lebih banyak lagi sekolah.
"Pembelajaran dengan kaedah sebegini mampu meningkatkan pengetahuan pelajar menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Belajar bahasa lain tidak merosakkan identiti bangsa. Saya sendiri amat cintakan Bahasa Melayu dan suka bercakap dalam Bahasa Melayu.
"Namun dalam program melibatkan Bahasa Inggeris dan wakil kedutaan Amerika hari ini saya bercakap England," gurau baginda ketika menyampaikan ucapan sempena Pameran Pahang English Teaching Assistant 2019 di sini hari ini.
Pameran tersebut diadakan sempena pelaksanaan Fullbright English Teaching Assistanship (ETA) yang telah dilaksanakan bermula di Terengganu sejak 14 tahun lalu.
ETA disertai seramai 100 pendidik dari Amerika Syarikat yang berkhidmat di sekolah sekolah kebangsaan di sembilan buah negeri di Malaysia membabitkan 83,480 pelajar.
Program tersebut kemudian turut dilaksanakan di sekolah sekolah negeri Kedah, Kelantan, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, baginda turut menyampaikan hasrat Yang Dipertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar menjalankan program seumpamanya dengan cara menghantar pelajar atau guru ke Amerika Syarikat untuk mengajar Bahasa Melayu, sekali gus mengalami dan mempelajari budaya di sana.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat, Kamala Shirlin Lakhdir berkata, bersama ETA para pelajar menimba ilmu menerusi pembelajaran dalam kelas, aktiviti kurikulum tambahan dan bersama komuniti.
Para ETA akan meluangkan banyak masa bersama dengan para pelajar untuk berkongsi pengalaman dan budaya mereka dengan berbahasa Inggeris.
"ETA menggunakan pengukuran yang kreatif seperti memasak, keupayaan bersukan, muzik dan bakat artistik serta apa sahaja yang boleh diaplikasikan untuk mengendali program di sekolah mereka.
"Selain perlu fokus terhadap pengajaran, para ETA turut melakukan aktiviti sukarelawan di rumah anak yatim dan penduduk setempat," katanya.
Program ini dianjurkan Fullbright Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Amerika Syarikat dan Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan dan turut mendapat kerjasama kerajaan Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!