Piala Dunia Ragbi: Taufan Hagibis jadi motivasi wira Jepun
MICHAEL Leitch dan Jamie Joseph mendedikasikan kemenangan hebat Jepun ke atas Scotland dalam saingan Piala Dunia Ragbi buat semua mangsa Taufan Hagibis.
Skuad tuan rumah itu menang 28-21 dalam aksi di Yokohama sekali gus mencipta sejarah melangkah ke suku akhir kejohanan buat kali pertama.
Laporan Astro Awani, Jepun memenangi keempat-empat perlawanan di laman sendiri dan selaku juara Kumpulan A, mereka bakal menentang Afrika Selatan, Ahad ini di Tokyo.
Namun tatkala demam ragbi melanda negara itu, kemeriahannya direncatkan dengan kehadiran bencana alam yang meragut 20 nyawa menurut laporan media tempatan tidak termasuk mereka yang gagal dikesan serta jumlah hartanah yang mengalami kerosakan.
"Ia detik yang sukar dengan taufan tetapi saya mahu mengucapkan terima kasih yang menjayakan perlawanan ini.
"Buat mereka yang merana akibat taufan itu, perlawanan ini untuk anda.
"Penyokong sangat hebat untuk kami. Seluruh jiwa kami adalah untuk mereka yang merana," kata Kapten Jepun, Leitch.
Pengendali Jepun, Joseph berkata, apa yang berlaku di negara Jepun cukup menyedihkan dan kemenangan itu terlalu istimewa buat pasukan dan negara.
"Sebelum saya bercakap tentang aksi di padang, saya mahu menyentuh semua pihak yang kehilangan ahli keluarga akibat taufan, hari ini.
"Ia memberi motivasi tinggi buat kami. Kami bercakap tentangnya pagi ini sebagai satu kumpulan. Pemain benar-benar mahu bermain," katanya.
Leitch menambah, dia sangat bangga dengan pencapaian Jepun selepas mendahului 28-7 dan menafikan kebangkitan Scotland dengan penuh bergaya.
"Sejak permulaan, kami beraksi sepenuh hati. Hari ini, tiada istilah teknik. Ia tentang emosi dan fizikal. Saya fikir kami tunjukkannya hari ini.
"Kami akan berikan segalanya dalam aksi seterusnya," janjinya.
Jika Jepun mahu meneruskan kecemerlangan, mereka harus melepasi cabaran The Springboks seperti apa yang dilakukan empat tahun lalu di Brighton, yang mana ia dilihat sebagai pencetus kepada generasi hari ini.
Joseph teruja dengan prestasi terkini pasukannya, dan mahukan persiapan benar-benar rapi untuk Piala Dunia dan memberikan terbaik pada setiap minggu.
"Namun, hari ini mereka telah berada di satu tahap yang berbeza.
"Mereka memberikan segalanya yang mampu, tidak kira pemain yang paling berpengalaman dan mereka memberikan 150 peratus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!