Belanjawan 2020 untuk realisasi manifesto PH: MB Selangor
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyambut baik Belanjawan 2020 yang disifatkan sebagai bajet holistik yang baik dan merupakan suatu testamen kepada aspirasi kerajaan untuk sebaik mungkin merealisasikan manifesto Pakatan Harapan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Belanjawan 2020 juga disifatkan sebagai bajet yang cukup memandang jauh dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Pentadbiran ini menyambut baik beberapa inisiatif yang disebutkan dalam dokumen penting tersebut antaranya RM21.6 bilion untuk usahasama swasta-kerajaan dalam merealisasikan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara atau National Fiberization and Connectivity Plan (NFCP) yang sangat menguntungkan negeri ini dan mempercepatkan kadar pencapaian 100 peratus internet berkelajuan tinggi di negeri ini.
"Peruntukan MARRIS yang telah diizinkan untuk penggunaan tambah baik jalan-jalan di Selangor yang memang sering digunakan sebanyak 15 peratus atau RM20 juta yang mana lebih rendah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan kerajaan Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri turut berterima kasih atas kesudian Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Ampuan Rahimah di Klang dengan jumlah peruntukan keseluruhan untuk keperluan itu sebanyak RM1.6 bilion.
"Pada masa sama kerajaan negeri turut menghargai perhatian Kerajaan Pusat dalam membantu merancakkan ekonomi di Klang dengan kajian kebolehlaksanaan Pulau Carey, kajian kebolehlaksanaan projek Serendah-Port Klang Bypass serta kajian kebolehlaksanaan Koridor Logistik Klang yang bakal menjadikan Port Klang yang sudahpun menjadi pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia sebagai hab maritim serantau.
"Perhatian yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam membanteras dadah juga sangat dialu-alukan yang mana Selangor antara negeri yang mencatat banyak kes berkaitan dengan RM25 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat untuk Agensi Antidadah Kebangsaan antara lain melalui projek RINTIS dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, rakyat Selangor juga beruntung kerana bakal menjadi penerima manfaat terbesar dengan pengambilalihan lebuhraya KESAS, SPRINT dan LDP yang ketiga-tiganya dalam negeri Selangor.
"Turut dihargai adalah peruntukan Rancangan Tebatan Banjir Kerajaan Pusat yang berjumlah 443.9 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!