Apa itu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)?

Velupillai Prabhakaran menubuhkan LTTE pada 5 Mei 1976.
Velupillai Prabhakaran menubuhkan LTTE pada 5 Mei 1976.
A
A
A

HARIMAU Pembebasan Tamil Eelam atau singkatannya LTTE ialah organisasi gerila yang berjuang menentang kerajaan Sri Lanka bagi mendapatkan tanah air bebas di utara dan timur pulau itu yang didiami majoriti penduduk berketurunan Tamil.

Susulan kemerdekaan Sri Lanka dari penjajah pada tahun 1948, etnik Tamil menjadi minoriti dengan kaum Singhala membentuk 69 peratus daripada penduduk di pulau tersebut.

Sejarah ketidakseimbangan antara kaum Singhala dan Tamil itu dikatakan menjadi latar belakang penubuhan LTTE pada 5 Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran.

Menjelang tahun 1970-an, perjuangan politik yang pada awalnya menuntut negara Tamil bebas digunakan sebagai alasan untuk melakukan pemberontakan diketuai LTTE.

LTTE dilaporkan melancarkan beberapa serangan gerila dan pada tahun 1983, selepas pembunuhan 13 orang tentera oleh gerila Tamil dan serangan balas tentera Sri Lanka, pertempuran skala besar tercetus antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE.

Menjelang tahun 1985, LTTE berjaya menguasai Jaffna dan sebahagian besar Semenanjung Jaffna di utara Sri Lanka.

Di bawah arahan Prabhakaran, LTTE yang terkenal menggunakan wanita dan kanak-kanak dalam peperangan berjaya menghapuskan kebanyakan pesaingnya dalam kalangan kumpulan Tamil menjelang tahun 1987.

Pada Oktober 1987, LTTE kehilangan kuasa di Jaffna berikutan pasukan Peace Keeping Force India (IPKF) yang dihantar ke Sri Lanka bagi membantu melaksanakan gencatan senjata penuh, namun susulan penarikan diri IPKF pada Mac 1980, LTTE kembali berkuasa dan terus melancarkan beberapa operasi gerila dan serangan ganas.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 Mei 1991, seorang pengebom bunuh diri membunuh bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi ketika beliau berkempen di Tamil Nadu.

Serangan lain termasuk pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada Mei 1993, serangan bom pada Januari 1996 di bank pusat Colombo yang meragut 100 nyawa dan serangan pada bulan Julai 2001 di Lapangan Terbang Antarabangsa Colombo memusnahkan separuh daripada pesawat komersil negara itu.

Bagi membiayai operasi, LTTE menjalankan pelbagai aktiviti haram termasuk merompak bank, mengedar dadah serta memeras ugut warga Tamil di Sri Lanka dan beberapa tempat lain, namun ia turut menerima bantuan kewangan daripada orang Tamil yang tinggal di luar negara.

Dianggap antara kumpulan pengganas paling sofiskated di dunia, LTTE turut dilengkapi dengan sayap tentera laut, unit udara, sayap perisikan serta unit khas serangan bunuh diri dikenali sebagai 'Black Tiger', ahli unit tersebut akan mengorbankan diri sendiri dengan menelan kapsul sianida sekiranya ditangkap pihak berkuasa Sri Lanka.

Dalam pada itu, rundingan damai antara LTTE dan kerajaan Sri Lanka sering menemui kegagalan dan pada Disember tahun 2000, gencatan senjata dua hala yang dirancang hanya bertahan sehingga April.

Susulan itu, pertempuran antara LTTE dan kerajaan kembali sengit sehingga Februari tahun 2002 apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian gencatan senjata kekal.

Namun insiden keganasan masih tetap berlaku dan pada tahun 2006, Kesatuan Eropah (EU) menyenaraikan LTTE sebagai pertubuhan pengganas.

Pada Januari 2008, kerajaan Sri Lanka secara rasmi mengingkari perjanjian gencatan senjata dan pihak berkuasa menawan kubu kuat LTTE dalam dalam bulan-bulan berikutnya.

Bandar Kilinochchi yang juga pusat pentadbiran LTTE dikuasai kerajaan pada Januari 2009 dan serangan habis-habisan tentera kerajaan pada pertengahan Mei berjaya menumbangkan kubu terakhir LTTE dan barisan pemimpinnya termasuk Prabhakaran turut terbunuh. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!