Kerajaan perlu nilai semula SOSMA: Adly
MELAKA TENGAH - Kerajaan digesa menilai semula secara keseluruhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, berdasarkan maklumat sedia ada terdapat individu yang dibebaskan dan tidak dijatuhkan kesalahan dibawa akta tersebut.
Menurutnya, sudah pasti individu yang ditahan dibawa SOSMA berdepan dengan pelbagai perkara terutama tuduhan masyarakat sebelum sesuatu hukuman itu ditentukan sama ada bersalah mahupun sebaliknya.
Katanya, dengan adanya penambahbaikkan modul, ia akan membantu pihak berkuasa dalam melaksanakan tanggungjawab menangani jenayah dan ancaman keselamatan, terutama melibatkan isu-isu keganasan dengan lebih berkesan.
"Memang ada data-data dan kita lihat sebahagian yang ditangkap SOSMA dilepaskan dan mereka harus mengawal banyak perkara terutama tuduhan masyarakat dan mungkin ada kategori-kategori bagi kita selesaikan isu-isu keganasan dan sekarang keseluruhan kategori sebagai sama sahaja sebab itu perlu ada penilaian.
"DI Melaka saya yakin kalau mereka yang ditangkap dan dipanggil untuk membuat siasatan akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.
Adly berkata demikian ketika mengulas mengenai Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu kerajaan memansuhkan SOSMA ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Buku Melaka 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama, Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar dan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, Kerajaan Melaka turut bersimpati terhadap ahli keluarga dan mereka yang terkesan dengan kejadian pembunuhan kejam dua beranak yang berlaku di negeri ini.
"Di peringkat kerajaan negeri ini di luar batas kemanusiaan biasa dan kita harap pihak polis mengambil tindakan tegas kerana walau apa sekali pun kita tidak boleh menerima kejadian jenayah seumpama itu," katanya.
Pada program itu Adly mengalu-alukan kerjasama dengan pihak swasta bagi menganjurkan pesta buku sekali gus memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!