Pulang dana 1MDB: 42 pemimpin UMNO sepakat lapor polis
KUALA LUMPUR - Seramai 42 pemimpin UMNO bersepakat membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantah tindakan suruhanjaya itu mengeluarkan notis kompaun untuk mengembalikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, laporan polis itu dibuat secara 'berjemaah' pada hari ini dan esok.
"Kami akan buat laporan polis secara 'berjemaah' pada hari ini dan esok di kawasan masing-masing untuk menyatakan rasa tak puas hati terhadap notis yang diberi SPRM," katanya.
Tegasnya, wang yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dana politik yang sah mengikut undang-undang.
"Dakwaan SPRM bahawa dana itu milik 1MDB adalah bercanggah dengan keterangan saksi SPRM dan Ambank semasa prosiding SRC International sebelum ini yang menyatakan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah daripada kerajaan Arab Saudi," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Putra, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap suruhanjaya itu yang menggandakan nilai dana diterima di dalam jumlah notis kompaun.
"Ada yang dikenakan gandaan 2.5 kali ganda, siapa terima RM1 juta digandakan tawaran menerima kompaun kepada RM2.5 juta," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: SPRM keluar notis kompaun kepada 80 individu, entiti
Ahmad Maslan nafi terima cek 1MDB
SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, suruhanjaya itu mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu, parti politik, syarikat dan badan organisasi yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.
Antara individu yang menerima notis kompaun itu adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Nazir Razak; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, jumlah keseluruhan dana tersebut adalah RM420 juta dengan purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!