Belanjawan 2020 abai Kelantan, Terengganu

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2020 yang dibentang Jumaat lalu dilihat mengabaikan Kelantan dan Terengganu yang kini ditadbir Pas, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ia terbukti dengan ketiadaan projek berimpak tinggi yang diberikan kepada kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.

Katanya, Kelantan dan Terengganu sepatutnya mendapat peruntukan lebih besar dan dilaksanakan projek berimpak tinggi untuk membantu pembangunan negeri memandangkan pendapatan per kapital rakyat di negeri itu dikatakan amat rendah.

“Kita nak tanya Menteri Kewangan adakah ini hukuman kepada Kelantan dan Terengganu yang memberi undi kepada Pas.

“Dalam kajian separuh penggal telah disebut mengenai merapatkan jurang antara kawasan ini, kita nak tanya di mana projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh kerana tiada projek berimpak tinggi mungkin tuntutan royalti 20 peratus perlu diberikan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas -Kota Bharu) tampil mencelah dengan bersetuju dengan pandangan dibuat Ismail Sabri itu memandangkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu menyebut hanya sebuah sekolah baru di Tumpat, Kelantan dan satu di Marang, Terengganu.

Katanya, projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail yang telah diluluskan ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak disebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!