Korban Hagibis meningkat 43 orang
TOKYO - Puluhan ribu petugas penyelamat di Jepun bertungkus lumus meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa Taufan Hagibis yang setakat ini dilaporkan meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa.
Taufan Hagibis melanda Jepun malam Sabtu lalu dengan membawa angin kencang dan hujan lebat ke 36 wilayah di seluruh negara itu sekali gus menyebabkan tanah runtuh dan banjir.
"Hingga kini, ramai mangsa di kawasan terjejas masih hilang.
"Unit penyelamat bekerja siang dan malam untuk mencari dan menyelamatkan mangsa," kata Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dalam sebuah mesyuarat hari ini.
Menjelang lewat petang ini, stesen penyiaran awam NHK memaklumkan angka kematian meningkat kepada 43 orang manakala 16 masih hilang dan lebih 200 mangsa cedera.
Sementara itu, kerajaan memberikan jumlah lebih rendah namun terus mengemaskini maklumatnya.
Dalam pada usaha menyelamat yang giat dijalankan, agensi cuaca negara meramalkan hujan lebat di kawasan tengah dan timur Jepun yang berkemungkinan menyebabkan lebih banyak insiden banjir dan tanah runtuh.
"Saya menggesa orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tanah runtuh serta limpahan air sungai," kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga dalam satu sidang media.
Di Nagano, salah satu kawasan paling teruk terjejas, hujan mulai turun dan dijangka semakin lebat.
Difahamkan, meskipun Taufan Hagibis melanda Jepun dengan kekuatan angin mencecah 216 kilometer sejam namun sebahagian besar kerosakan adalah disebabkan hujan lebat. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Taufan Hagibis: Angka korban meningkat 35 orang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!