Penyokong Kedah sokong usaha KFA lancar tabung khas

Mohd Safarizal (kanan) ketika mewakili semua kelab penyokong Kedah berucap pada pertemuan santai bersama Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir awal November tahun lalu. - Foto: KFA
Mohd Safarizal (kanan) ketika mewakili semua kelab penyokong Kedah berucap pada pertemuan santai bersama Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir awal November tahun lalu. - Foto: KFA
A
A
A

USAHA Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang mahu mewujudkan tabung khas menampung perbelanjaan bagi membawa kes pampasan Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) disokong penuh Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC).

Majoriti penyokong Lang Merah bersetuju dengan tindakan persatuan yang berusaha untuk mendapatkan hak sewajarnya di mahkamah selepas mendakwa keputusan berat sebelah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Pengerusinya, Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, pihaknya juga tidak mahu KFA ‘dibuli’ FAM dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penyokong Kedah perlu bersatu hati dalam membantu Kedah dalam menangani perkara tersebut.

“Sebagai penyokong yang setia sejak dari dahulu lagi, maka tidak ada masalah untuk penyokong Kedah membantu KFA menyumbang kepada tabung yang akan diwujudkan kerana ia bukan satu paksaan, yang tidak mampu bagi tidak mengapa.

“Tabung ini juga sebenarnya tanda kesepakatan dan kerjasama yang kukuh antara KFA dan penyokong Kedah yang mahu mendapatkan hak yang sewajarnya di dalam kes Akhyar ini,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Terdahulu Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menegaskan pihaknya akan mengheret kes tersebut ke badan induk bola sepak dunia FIFA dan CAS di Switzerland.

Sedar usaha tersebut bakal menelan kos guaman yang agak tinggi, KFA bersedia untuk melancarkan tabung khas bagi memastikan perkara tersebut mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Mohd Safarizal berkata, majoriti kelab-kelab penyokong Kedah juga berdiri teguh di belakang KFA dalam menyokong penuh usaha itu dan berharap Kedah akan memperoleh keputusan positif.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai peminat kita tidak boleh berpandangan negatif, kita tolong KFA bukan nak bodek atau minta apa-apa. Sebagai penyokong Kedah, kami melihat FAM dan JDT membuli KFA dan tidak salah untuk kami penyokong setia membantu Kedah dalam hal ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!